8 perkara yang perlu dilakukan sebelum menyertai aktiviti selam skuba
8 perkara yang perlu dilakukan sebelum menyertai aktiviti selam skuba

8 perkara yang perlu dilakukan sebelum menyertai aktiviti selam skuba

Nor Azma  Muhamat Laila
02 Aug 2022 12:30pm
A
A
A

Sukan selam skuba adalah salah satu aktiviti pelancongan marin yang diklasifikasikan sebagai ekstrem dan mencabar tetapi dalam masa yang sama semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat.

Kini, selam skuba menjadi antara aktiviti yang popular di negara ini terutama di pulau-pulau di Sabah dan Semenanjung Malaysia seperti Pulau Sipadan, Mabul, Kapalai, Redang, Tioman dan Perhentian.

Bagi individu yang berminat menyertai aktiviti selam skuba, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dan dititikberatkan agar sukan berkenaan dapat dilakukan dalam keadaan selamat sekali gus mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Minggu ini, Sinar Bestari berpeluang mendapatkan pandangan daripada jurulatih selam skuba yang juga Duta DiveHeart Malaysia dan pengasas Pusat Selam Skuba Kanak-Kanak, Syed Abdul Rahman Syed Hassan mengenai perkara yang perlu dilakukan sebelum melakukan sukan ini.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan panduan kepada pembaca di luar sana yang berminat untuk mencuba aktiviti selam skuba di masa depan.

1) Sihat tubuh badan

Sebelum melakukan selam skuba, pastikan anda berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan sebagainya.

2) Kemahiran berenang

Sudah tentunya kemahiran berenang yang dimiliki akan menjadikan aktiviti selam skuba lebih mudah kerana seseorang individu itu sudah biasa dan selesa berada di dalam air sekali gus memberikan lebih keyakinan apabila perlu turun ke dalam laut.

3) Peralatan menyelam

Untuk membolehkan anda bernafas dan bergerak bebas ketika menyelam, anda memerlukan peralatan ini:

a) Tangki Skuba - Tangki ini mengandungi udara atmospheric seperti yang kita sedut, tetapi ia telah ditapis dan dimampatkan ke dalam tangki. Sebelum anda mula menyelam, pastikan tangki ini telah diisi.

b) Buoyancy Control Device (BCD) - BCD digunakan untuk memegang tangki skuba. Ia juga bertindak sebagai jaket keselamatan untuk memberikan apungan tambahan.

c) Regulators - Alat ini menyalurkan udara dari tangki ke mulut penyelam melalui hos berkualiti tinggi. Hos ini mampu menahan kadar tekanan tinggi.

d) Air Gauge - Alat ini menunjukkan berapa banyak udara yang anda ada dalam tangki skuba.

4) Set pakaian

a) Face mask - Alat ini membantu penyelam melihat dengan jelas di dalam air. Ia juga melindungi hidung daripada dimasuki air.

b) Exposure suit - Pakaian seperti ‘wetsuit’ dan ‘rashguard’ adalah sangat penting ketika berada dalam air. Ia bertindak sebagai penebat dan melindungi anda daripada tercedera jika terlanggar sesuatu ketika di dalam air.

c) Weight belt - Tali pinggang ini digunakan untuk mewujudkan apungan. Ia membantu untuk menenggelamkan tubuh badan penyelam.

d) Fins - Kaki itik ini akan menjadi kaki anda sepanjang selaman. Ia membantu anda untuk bergerak laju dengan mudah semasa dalam air.

5) Lesen menyelam

Sebelum menyelam, anda mesti dapatkan lesen menyelam yang diiktiraf oleh badan antarabangsa tertentu seperti Professional Association of Diving Instructors (PADI), Scuba Diving International (SDI) dan Scuba Schools International (SSI).

Tidak sempat untuk membuat lesen tetapi teringin menyelam? Anda boleh mengambil kursus pendek iaitu Discover Scuba Diving (DSD). Anda akan diajar tentang kemahiran asas menyelam, kemudian pergi menyelam bersama jurulatih.

6) Tekanan dalam air

Lebih dalam anda turun ke dalam air, lebih tinggi tekanan yang dirasai. Anda boleh melakukan beberapa teknik bagi menghilangkan tekanan yang dialami. Jika tidak dapat melegakan tekanan ketika berada di dalam air, maklumkan kepada jurulatih PADI. Elak melakukan selam skuba ketika tidak sihat terutama selesema kerana ia akan memburukkan lagi tekanan ketika berada di dalam air.

7) Bernafas secara berterusan

Jangan tahan nafas ketika melakukan selam skuba kerana ia akan memberikan tekanan kepada paru-paru dan boleh mendatangkan kecederaan serius.

8) Ikut arahan yang diberikan jurulatih PADI

Bagi individu yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini, disarankan supaya anda mengikut arahan dan tunjuk ajar daripada jurulatih PADI. Jika berdepan sebarang masalah ketika selam skuba, berkomunikasi dengan jurulatih bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi.

Artikel berkaitan 

Kerana minat melukis, Ajis sanggup selam skuba hingga berjaya hasilkan 50 karya di dasar laut. Terbaik!

Tersenarai antara 50 calon seluruh dunia, Alesyah buat rakyat Malaysia gembira dan bangga!

Pelajar raih Mumtaz dalam STAM 2021, jadikan solat sunat duha sebagai amalan wajib


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan