photo-1599042502453-237312612472
photo-1599042502453-237312612472

8 perkara yang perlu ibu bapa tahu untuk persekolahan anak berkeperluan khas

Roshlawaty Md Raieh
27 Jan 2022 02:01pm
A
A
A

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak kategori berkeperluan khas tentunya berhadapan sedikit masalah untuk menentukan tahap pembelajaran mereka.

Pelbagai perkara perlu difikirkan seperti di mana mahu mencari program pembelajaran yang sesuai dengan mereka, cara untuk mendaftar persekolahan anak-anak ini dan sebagainya lagi.

Menerusi laman Facebook Mahfuzah Zainol, ada dikongsikan serba sedikit tentang senarai yang perlu ibu bapa lakukan berkaitan persekolahan kanak-kanak berkeperluan khas ini.

GPSBestari sertakan di sini sebagai rujukan untuk ibu bapa yang mungkin masih belum menemui keputusan terbaik tentang persekolahan anak masing-masing.

Teliti maklumat berikut.

*****

Ada banyak yang ibu bapa perlu ambil perhatian jika anak mereka mempunyai ciri Murid Berkeperluan Khas (MBK). Tidak kisahlah ada kad Orang Kurang Upaya (OKU) atau tidak. Tidak mahu buat kad OKU atau tidak, tapi perlu ambil tahu perkara-perkara ini kerana setiap tahun pasti ramai ibu bapa muda yang mencari maklumat berkenaan.

1) Daftar anak anda untuk sesi persekolahan secara dalam talian (online)

Ramai yang terlepas pandang perkara ini setelah tahu anak mereka ada masalah dan berkemungkinan tidak layak ke sekolah. Jadi mereka tidak daftarkan anak mereka.

Setiap tahun, Kementerian Pendidikan (KPM) akan buka pendaftaran secara online untuk sesi persekolahan bermula Tahun Satu. Jangan terlepas. Daftarlah juga walaupun anda tidak tahu status diagnosis anak anda, sebab doktor belum sahkan. Ataupun rasanya anak tidak layak ke sekolah, daftar juga. KPM hendak dapatkan maklumat dan data kanak-kanak yang bakal bersekolah. Penting kerana data-data ini perlu untuk bina sekolah baru atau tidak, buka Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) baru atau tidak, sebab pendaftaran diambil dua tahun sebelum anak masuk sekolah di Tahun Satu.

Baca juga “Cikgu, saya dah lama teringin nak makan McDonalds, tapi ayah kata mahal”

Baca juga Pakar Zoologi, bidang pekerjaan yang sesuai buat pencinta haiwan

Awalnya dua tahun sebelum? Kerana KPM hendak bersedia jika ada data beritahu di kawasan A ini rupanya ramai MBK hendak masuk, tapi PPKI dan cikgu tidak cukup, ohh, kena buka program baru dekat kawasan ini. Hendak buka program baru bukan sebulan dua ya, kena tengok unjuran bilangan cikgu nak kena posting, nak pencen dan sebagainya.

Jadi, jangan terlepas mendaftar anak untuk Tahun Satu. Tidak ada permohonan, tiadalah pembukaan program atau sekolah baru. Pentingnya mendaftar, siapa yang kerja dengan data, mesti mereka tahu kepentingan data untuk pembukaan sesuatu institusi.

2) Download Kod Amalan Pendidikan Berkeperluan Khas. Mohon google. Semua maklumat berkaitan pelaksanaan pendidikan MBK ada dalam dokumen tersebut. Jangan pandang rendah kepada dokumen ini kerana ia masih lagi boleh dipakai sehingga satu surat pekeliling rasmi yang menafikan penggunaan dokumen ini. Semuanya boleh didapati di laman sesawang KPM. Dunia di hujung jari.

Kalau tidak faham kandungan dalamnya, silalah dapatkan bantuan terdekat anda seperti di Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing sebab mereka lebih arif tentang pelaksanaan di lokaliti mereka. Saya hanya sampaikan maklumat asas sahaja.

3) Tahu tahap perkembangan semasa anak.

Perkara ini sangat penting untuk menyediakan pelan pendidikan yang seterusnya. Kalau rasanya anak sesuai ke PPKI, silalah bersedia. Kalau rasa anak tak sesuai di PPKI, kena pergi Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK), silalah bersedia juga.

Kalau anak masuk PPKI atau PDK, Rancangan Pendidikan Individu (RPI) kena tahu, sebab itu rujukan tahap perkembangan anak kita. Berhubung rapatlah dengan cikgu tentang hal ini. Matlamat RPI kena realisasikan bersama guru dan ibu bapa.

4) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Pendidikan Khas.

Jika anak sudah masuk ke PPKI, ibu bapa perlu tahu apa yang mereka belajar, muat turun (download) sahaja dokumen-dokumen ini. Bahagian Pembangunan Kurikulum sudah sediakan semuanya di hujung jari anda. Percuma. Sekurang-kurangnya, boleh bersedia tentang apa yang anak anda belajar di sekolah.

Jika anak anda tidak sesuai mengikuti KSSR Pendidikan Khas di PPKI, jangan risau cikgu-cikgu Pendidikan Khas akan guna kurikulum alternatif yang sesuai dengan tahap anak anda. Berbincanglah dengan guru baik-baik. Ya, tidak semua murid sesuai untuk ikut KSSR Pendidikan Khas, tapi kita boleh guna alternatif untuk pembelajaran mereka di sekolah.

Yang penting, cikgu pun kena proaktif mencari kurikulum alternatif yang sesuai dengan tahap murid mereka. Mereka yang lebih faham apa yang murid perlukan di sekolah. Kurikulum standard hanyalah sebagai ‘guide’ sahaja.

5) Penangguhan persekolahan anak anda.

Saya pasti ramai ibu bapa yang tidak yakin anak mereka boleh ke sekolah. Jangan risau, anda boleh tangguhkan, namun perlu sertakan bukti-bukti kukuh yang diperlukan dalam Kod Amalan Pendidikan Berkeperluan Khas.

Rujuk pejabat pendidikan yang terdekat dengan rumah anda. Apa-apa pun perlu dapatkan kelulusan daripada Menteri Pendidikan. Rujuk Kod Amalan Pendidikan Berkeperluan Khas ya. Proses dan prosedur ada dinyatakan. Setiap permohonan penangguhan hanya sah selama setahun persekolahan sahaja.

6) Homeschooling.

Ada antara ibu bapa yang terfikir untuk menyekolahkan anak mereka di rumah. Tiada masalah. Rujuk Kod Amalan Pendidikan Berkeperluan Khas. Ada prosedur yang perlu diikut. Lebih kurang macam point nombor lima tapi berbeza sedikit.

7) Sekolah swasta.

Ini juga tidak menjadi masalah jika ibu bapa hendak teruskan Early Intervention Program (EIP) di institusi swasta. Pastikan sekolah tersebut berdaftar dengan KPM, secara spesifiknya di Bahagian Pendidikan Swasta. Jika ragu-ragu, semak nama sekolah tersebut di laman sesawang untuk mengetahui ia berdaftar di bawah KPM atau tidak di Sistem Maklumat Pendidikan Swasta (SMIPS).

Secara umumnya, jika berdaftar dengan KPM, pemantauan akan dilakukan secara berkala ke sekolah swasta tersebut. Jika hantar anak ke sekolah swasta, anak anda tidak layak mendapat sebarang keistimewaan sebagai MBK seperti di sekolah kerajaan.

Ada satu lagi tip yang saya boleh beri, boleh juga daftar anak bersekolah di sekolah kerajaan dan pada masa yang sama boleh hantar juga anak anda sebelah petang ke sekolah swasta untuk EIP.

Ataupun, boleh buat giliran dua hari atau tiga hari ke sekolah swasta untuk mendapatkan khidmat EIP yang tidak diberikan di sekolah kerajaan, namun kena berbincang dengan pihak sekolah dengan baik. Boleh dipertimbangkan.

Dengan cara ini, anak anda dapat keistimewaan sebagai MBK di sekolah kerajaan dan juga tidak ketinggalan sesi terapi di pusat-pusat intervensi swasta berdaftar. Win-win situation.

Menarik, bukan. Saya suka option ini, sehinggalah pada suatu saat di mana KPM mampu sediakan perkhidmatan terapi di sekolah secara optimum. Semoga ia menjadi kenyataan.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

8) Kad OKU.

Ini isu yang agak sensitif bagi kebanyakan ibu bapa. Perkara ini telah banyak diulas oleh pakar-pakar dalam bidang Pendidikan Khas. Terpulang kepada ibu bapa.

Bagi saya, jika anak anda layak mendapat kad OKU, mohonlah. Banyak faedahnya. Sekarang kad OKU sudah lebih spesifik bagi kategori masalah pembelajaran, ada enam sub-kategori.

Global Developmental Delay (GDD), Down Syndrom, ADHD, Autism Spectrum Disorder, Intellectual Disability (ID) dan Specific Learning Difficulty ada tiga di bawahnya, disleksia, dyscalculia dan dysgraphia.

Dalam Pelan Tindakan OKU Kebangsaan pun ada banyak keistimewaan jika ada kad OKU. Hendak tahu, silalah google. Yang paling popular, tentang kemasukan satu peratus pelajar OKU ke institusi pendidikan awam dan menjadi penjawat awam.

Yang penting anak-anak OKU kena lepas 3M, menulis, membaca dan mengira serta syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak institusi. Cubalah, anak anda yang ada kad OKU tidak perlu bersaing dengan calon tipikal lain. Itu satu kelebihan, bukan. Ini peluang keemasan. Rebut selagi mampu.

Sekian, perkongsian umum mengenai persediaan persekolahan untuk MBK anak anda.

Ramai ibu bapa tidak tahu perkara ini, memanglah, sebab setiap tahun pasti ada ibu bapa yang baru melalui pengalaman ditakdirkan mempunyai anak istimewa. Ibu bapa yang sudah senior, mereka sudah tahu.

Saya target kepada ibu bapa muda yang masih mencari-cari maklumat ini. Moga sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa muda dalam menempuh perjalanan pendidikan anak-anak berkeperluan khas mereka.

Pesanan saya, mungkin realitinya tidak sama seperti apa yang saya tulis ini. Namun, ibu bapa sudah tentu sudah bersedia. Saya doakan ibu bapa semua dipermudahkan urusan persekolahan anak-anak berkeperluan khas sehingga ke akhirnya. Sekolah sudah hendak mula bulan Mac nanti, dah tak lama dah.

Sumber: Facebook Mahfuzah Zainol

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan