New Project (2)
New Project (2)

Alamak, terpadam fail secara tidak sengaja! Usah panik, ikuti tip ini

Mohd Khairi Mohamad Yusri
20 Aug 2021 01:43pm
A
A
A

Pernah tak anda terpadam fail secara tidak sengaja di komputer? Selepas itu bila semak di dalam Recycle Bin untuk memulihkannya kembali, tidak jumpa langsung. Ya, anda mungkin telah memadam secara kekal dengan menekan Shift + Delete atau telah mengosongkan Recycle Bin. Jadi sekarang apa mahu dibuat?

Jangan risau, kerana fail tersebut mungkin masih berpeluang diselamatkan kerana sebenarnya Windows tidak menghapusnya terus dari cakera keras (hard disk).

Ia hanya menghapuskan entri indeks yang memberitahu lokasi fail tersebut dan menandakan ruang penyimpanan tersebut sebagai kosong untuk data baru ditulis. Selagi tiada data baru ditulis di ruang tersebut, maka ia masih boleh diselamatkan lagi

Namun, bagaimana mahu mendapatkan semula fail yang telah dipadam itu? Ikuti tip ini.

1) Pandora Recovery

Pandora Recovery adalah sebuah perisian percuma yang menawarkan program pemulihan fail. Ini membolehkan anda melihat folder di dalam pemacu (drive) untuk mencari fail yang dipadam.

Ia juga membolehkan penggunanya mencari fail yang dipadam berdasarkan nama, ukuran fail, tarikh pembuatan dan masa akses terakhir. Imbasan mendalamnya membolehkan anda memulihkan fail yang mungkin terlepas pandang oleh perisian lain.

Walaupun tidak mengembalikan nama dan lokasi asal fail, ia masih berkesan untuk memulihkan data dari pemacu yang rosak serta boleh juga memulihkan data dari CD dan DVD.

2) TOKIWA DataRecovery

TOKIWA DataRecovery adalah program pemulihan fail yang paling kecil yang ada di internet iaitu hanya sebesar 200KB. Walaupun begitu, ia menyokong penghapusan dari sistem fail FAT 12, FAT16, FAT32 dan NTFS. Ia juga menyokong pemulihan fail NSFS yang telah di “encrypted”.

Perisian ini juga berbentuk mudah alih, jadi pengguna tidak perlu memasangnya di komputer setiap kali hendak digunakan. Di samping itu, Ia juga mempunyai fungsi penghancur fail yang membolehkan pengguna untuk memadam fail, dan fail yang dipadam menggunakan cara ini tidak akan dapat dipulihkan lagi.

3) Recuva

Recuva merupakan antara freeware yang sangat bagus untuk memulihkan semula fail yang dipadam. Perisian ini menawarkan mengimbas fail yang dihapus berdasarkan jenisnya iaitu muzik, gambar, video dan lain-lain.

Sekiranya fail yang dihapus tidak dapat dipulihkan melalui carian biasa, gunakan ‘deep scan’, pasti fail tersebut akan dijumpai kembali. Seperti TOKIWA DataRecovery, Recuva juga menawarkan fungsi pemadaman fail dengan selamat.

Semua perisian pemulihan ini menyokong pemulihan dari pemacu USB (USB drive), SD card dan lain-lain.

Beberapa tip penting untuk meningkatkan peluang menyelamatkan semula fail yang dipadam: -

1) Apabila fail dihapus secara tidak sengaja pada peranti penyimpanan, pastikan bahawa anda tidak melakukan apa-apa seperti membuat folder dan dokumen baru, kerana ia akan meningkatkan kemungkinan data baru ditulis di atas fail yang dipadam tadi; di mana perkara ini akan membuatkan usaha pemulihan fail menjadi hampir mustahil.

2) Sekiranya anda telah memadam fail di komputer utama anda (yang sedang digunakan pada waktu itu), hindarkan daripada melayari internet, muat turun perisian baru atau mematikan komputer tersebut.

Biarkan ia dalam mod on dan pergi ke komputer lain, untuk muat turun salah satu perisian yang disebutkan di atas. Kemudian pasangkan perisian tadi ke dalam komputer dan lakukan pemulihan fail.

Paling baik, pastikan perisian pemulihan ini sentiasa berada dalam komputer atau USB drive supaya mudah untuk dapatkan kembali fail yang dipadam secara tidak sengaja.

3) Sekiranya salah satu perisian gagal memulihkan kembali fail yang terpadam, ini tidak bermakna perisian yang lain tidak akan memulihkannya juga. Yang penting jangan mudah putus asa.

Selamat mencuba

Sumber: tweakandtrick.com/

Artikel berkaitan 

7 tip untuk sentiasa selamat ketika melayari internet

Ribuan pelajar mohon jadi Felo Perdana, Pei Ling terkejut namanya yang jadi pilihan. Cukup terharu!

Peroleh PhD pada umur 27 tahun, alumni MRSM kongsi tip berkaitan pengajian PhD


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan