Dr Radzi umum tarikh pelaksanaan kadar baharu RMT
Dr Radzi umum tarikh pelaksanaan kadar baharu RMT

Durratun Nashihin kongsi 6 skil gimrama untuk pemula

Rasyidah Zulkifi
03 Nov 2022 03:37pm
A
A
A

Gimrama atau lebih dikenali sebagai gimnastik berirama merupakan sukan yang memerlukan si cilik memulakan latihan dan berkemahiran sejak berusia 7 tahun.

Begitupun, tempoh matang untuk menjadi peserta di bawah program Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (SUKMA) adalah ketika berada di Tingkatan Empat.

Menurut bekas atlet gimrama kebangsaan, Durratun Nashihin Rosli, 34, gimrama merupakan sukan unik boleh disertai oleh setiap golongan masyarakat, namun bukan semua mampu melakukannya.

“Tanpa mengira warna kulit kerana di Afrika pun ada gimnas berkulit gelap mempunyai prestasi yang mengagumkan, jadi ia bukanlah untuk seseorang yang memiliki warna kulit cerah sahaja.

“Dalam gimnastik juga tidak menitikberatkan Indeks Jisim Badan (BMI), cukup sekadar cantik penampilan dipandang mata.

“Saya memang dikategorikan sebagai ‘overweight’ dalam sukan ini kerana secara genetik keluarga saya berbadan besar, dahulu saya seorang sahaja dalam pasukan yang kena jaga pemakanan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, ketinggian juga bukanlah kayu ukuran bagi adik-adik yang mahu berkecimpung dalam sukan ini kerana peraturan berubah dari semasa ke semasa.

“Ketinggian tidak penting dalam gimrama sebab saya sendiri hanya berketinggian 154 sentimeter sahaja.

“Setiap empat tahun pihak penganjur akan menggubal undang-undang yang sedia ada mengikut kesesuaian generasi dan masa.

“Sekitar tahun 80-an hingga 90-an, saya melihat atlet memang tinggi-tinggi dan mempunyai bentuk badan panjang,” ujarnya.

Apabila masuk tahun 2000, sambungnya, pihak penganjur melonggarkan had ketinggian atlet baharu, jadi terdapat yang rendah sedikit.

“Sekitar 2012, sudah banyak perubahan dapat dilihat jika hendak dibandingkan pada zaman kegemilangan saya 15 tahun lalu.

“Dahulu memang kriteria kelayakan mahukan atlet yang berbadan kurus dan tinggi tetapi sekarang lebih kepada keupayaan sebagai gimnas.

“Yang mahu menceburkan diri dalam sukan gimrama ini mestilah seseorang yang mempunyai kekuatan mental dan jantung sebab pergerakan lasak mengeluarkan peluh yang banyak,” katanya yang kini berkhidmat sebagai jurulatih gimrama di Total Gymnastique, Petaling Jaya, Selangor.

Untuk itu, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur ini turut berkongsi enam skil gimrama kepada pembaca Sinar Bestari.

  1. Kawalan badan (balancing)

Bak kata orang ramai, sukan gimnastik diibaratkan ibu kepada segala sukan tetapi hendak mempelajarinya memakan masa.

Untuk melakukan skil ini, pemula perlu menjengket dengan menggunakan semua otot dalam badan untuk memanjangkan badan dan kekal supaya sentiasa berada dalam keadaan statik.

Melalui kawalan badan ini, seseorang boleh mengetahui dirinya stabil atau tidak untuk skil yang seterusnya.

2. Split

Ramai yang ingin melakukan teknik ini namun, ia memakan masa sedikit dan memerlukan disiplin diri.

Maksudnya, pemula perlu melakukannya setiap hari ditambah dengan regangan sebab skil ini mempuyai fleksibiliti.

Jadi, sebelum itu perlu membuat ‘pigeon sit’ seperti yoga. Badan hendaklah dilenturkan menjadi empat segi di mana bahu dan peha mesti berada dalam garisan yang sama. Setelah itu, punggung cuba untuk mencecah lantai dan tolak peha ke hadapan.

3. Posisi passé

Posisi ini asas bagi pemula di mana awalnya jurulatih akan menyuruh mereka menyeimbangkan kedua belah kaki, kemudian satu kaki.

Pada keadaan ini kena menggunakan semua otot dan kaki akan membentuk seperti segitiga di mana sebelah tapak kaki diletakkan berhampiran lutut sebelah lagi.

4. Lompatan

Dalam gimnastik banyak lompatan dan pemula kena pandai mengawal badan ketika pendaratan untuk mengelakkan sebarang kemalangan berlaku.

Secara asasnya ketika melompat kaki akan dibengkokkan dan selepas itu apabila mendarat lembut seperti kucing.

5. Passe pivot

Jurulatih akan mengingatkan pemula mengenai keseimbangan badan sebelum melakukan teknik pusingan.

Sebelum pusing, berat badan mesti melebihi kaki depan dan kaki belakang mesti dalam keadaan lurus. Dari sini akan ada paksaan untuk memusingkan badan.

6. Bridge

Teknik ini sukar untuk dilakukan oleh semua orang tetapi dengan latihan yang konsisten masih boleh melakukannya. Untuk ‘bridge’ akan dimulakan dengan posisi ‘cobra’ dan regangan kucing untuk meregangkan badan serta menggerakkan otot.

Pemula perlu membengkokkan kaki, baring dan jari selalu menghala ke kaki dan mata memandang ke tangan. Kemudian, badan ditolakkan naik ke atas dengan siku diluruskan, sementara dada pula ditolakkan supaya meregang ke belakang.

INFO

Nama penuh: Durratun Nashihin Rosli

Umur: 34 tahun

Kedudukan dalam keluarga: Kedua daripada tiga beradik

Pendidikan: Sarjana Muda Sukan dan Rekreasi, Victoria University, Melbourne, Australia

Status: Berkahwin

Artikel berkaitan 

Maia Ong kini berguru dengan atlet gimrama negara, Durratun Nashihin

Jurulatih Kebangsaan, Shu Liang kongsi 7 tip gimnastik

10 aplikasi menarik sebagai panduan peminat gimnastik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan