Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, ini 9 perkara dikongsi mereka
Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, ini 9 perkara dikongsi mereka

Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, berikut 9 perkara dikongsi mereka

Roshlawaty Md Raieh
23 Jun 2022 05:39pm
A
A
A

CEMERLANG dalam pelajaran menjadi impian semua pelajar. Namun, tidak semua yang berjaya. Ada juga yang gagal sehingga mengambil jalan singkat dengan menamatkan pengajian.

Ikon Inspirasi Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah (Negeri Pahang) 2020, Cikgu Mohd Ropizam Mohamad Zainun memberitahu, pelajar yang cemerlang pasti mempunyai rahsia untuk berjaya.

Tinggal lagi, untuk kita mencungkil rahsia mereka sebagai langkah mempraktikkan dalam pengajian masing-masing.

Sebagai membantu pelajar mendapat kejayaan dan kecemerlangan yang membanggakan, Cikgu Mohd Ropizam berkongsi sembilan rahsia tersembunyi yang dimiliki ramai pelajar cemerlang.

Ini yang ditulis oleh beliau.

1) Kerap berasa kurang berdoa, jadilah seperti Si Pendulang Emas

Saat berdoa, jadilah seperti Si Pendulang Emas. Pendulang emas kerjanya sangat teliti dan fokus walau habuk halus emas bercampur di dalam pasir dan sisa. Dia tetap teliti memilih habuk emas yang kecil lagi seni, demi mencapai emas sebenar.

Begitulah juga saat kita berdoa. Mesti teliti pada semua perkara dalam elemen doa dan hal-hal yang kita minta. Budaya begini sangat memberikan kepuasan maksimum.

2) Langsung tidak mengharap pada bakat

Ini baru betul-betul 'Gentleman'...! Tiada istilah ‘gifted’ atau ‘cerdik genius asal’ dalam hidup mereka untuk berjaya.

Kajian global membuktikan bahawa orang genius hanyalah tujuh peratus sahaja di dunia ini (satu angka yang sangat kecil). Orang-orang hebat yang lahir di dunia ini 93 peratus adalah orang biasa, tetapi rajin dan istiqamahnya yang luar biasa.

Mereka ada perasaan tidak pernah putus asa yang sangat menebal dalam diri bahkan perkara baru yang positif walaupun tidak dibuat orang mereka tetap mengatakan ‘tidak rugi mencuba’.

Mereka tidak pernah mengharap lebih pada cerdik asal usul. Sama ada kita nampak atau tidak, hakikatnya mereka kuat berusaha (baca buku, buat latihan dan ulangkaji pelajaran). Langsung tiada usaha yang dibuat ‘main-main saja’ kemudian berhasil berjaya cemerlang.

Mereka sendiri tidak percaya boleh berjaya hanya dengan beri perhatian di dalam kelas sahaja

Ada yang berani kata pada saya...

“Tipu semua tu cikgu kalau yang kata dia tak belajar di rumah atau asrama, cemerlang hanya belajar dalam kelas saja, kami nak dapat tahap ini, kami semua pulun habis siang dan malam, mana ada belajar main-main boleh cemerlang.”

Saya setuju! Sebab banyak kisah orang-orang hebat di dunia, mereka berjaya kerana sanggup tabah lalui ‘keperitan’, barulah kejayaan mereka ‘cukup umur dan matang’.

Lihat sahaja Sir Edmund Hillary, pendaki pertama puncak Everest hanyalah asalnya orang biasa, tapi semangatnya yang luar biasa, binatang buas dan curam yang dalam tidak ditakuti, jiwa dan akal yang hebat dipasak teliti. Jadi, ‘genetik berbakat’ hanyalah berstatus boleh mempengaruhi sahaja, tetapi tidak menguasai!

3) Suka buat ‘aduan khas’

Mereka berterus terang kepada ALLAH SWT.

Antara dialog mereka

“Ya ALLAH, aku mengaku aku banyak kurang dan kelemahan, tapi bantulah aku Ya ALLAH.”

“Ya ALLAH, aku ini tidak pandai sangat, aku pelajar biasa saja.”

“Ya ALLAH aku ini dari keluarga miskin, hanya Kau sahaja yang dapat ubah hidup aku.”

“Ya ALLAH tolonglah mudahkan aku mengingati nota penting dan faham latihan yang aku buat.”

“Ya ALLAH, beratkanlah hati aku untuk belajar lebih.”

“Ya ALLAH, bantulah aku di dalam dewan peperiksaan nanti, aku harap sangat Kau bantu aku ya ALLAH.”

Begitulah antaranya.

Kalau diikutkan banyak lagi dialog mereka ini. Mereka berterus terang! Mereka faham bahawa ALLAH suka hambaNya meminta-minta berlebih-lebihan, maka mereka gunakan peluang ini. Setiap hari dalam diam-diam pelajar ini banyak meminta-minta kepada ALLAH.

Mereka faham apabila meminta-minta kepada ALLAH, akan hadapi tiga situasi (Mungkin ALLAH makbulkan segera, mungkin ALLAH tangguhkan dahulu dan dimakbulkan pada kemudian hari atau mungkin ALLAH gantikan dengan sesuatu yang lebih baik, lebih sesuai untuk mereka.

4) Fikir buat ‘Yang Terbaik’ bukan 10A, 12A, 15A

Ini anak-anak semua kena faham betul-betul. Bukan salah letak target jumlah A. Ia bagus dan saya pun suka anda dapat banyak A. Saya juga hendak anak-anak saya dapat banyak A kalau boleh.

Tapi, ada sesuatu yang jauh lebih besar, lebih berkualiti, lebih selamat, lebih nikmat, lebih bermakna iaitu dengan set pada minda kita bahawa ‘AKU MAHU LAKUKAN YANG TERBAIK’

'TERBAIK' di sini adalah meluas, boleh menjangkaui, bahkan melepasi jumlah A yang kita hajati dan dambakan.

Jumlah bilangan A ada dalam 'TERBAIK' tersebut. Jika kita dilanda situasi luar jangka (contohnya Covid-19), maka kita akan tetap tenang belajar dan berusaha sebab kita mahu lakukan dan dapatkan yang 'TERBAIK', terbaik pada kadar kita mampu lakukan dalam keadaan cabaran semasa.

Maka apa yang terbaik kita dapat kita akan tenang, reda dan yakin itulah yang terbaik ALLAH mahukan untuk diri.

Tapi ingat, pra syaratnya adalah mesti ada usaha untuk capai yang terbaik! (Bukan duduk saja-saja dalam situasi sukar, kemudian berserah sahaja - Ini dilarang).

5) Tebalkan muka jadi jurulatih. Jadilah penggemar bantu kawan

Kebanyakan pelajar asalnya bukan golongan yang terpilih ke universiti. Mereka hanya pelajar biasa-biasa sahaja. Tapi, mereka tidak kedekut ilmu. Suka bantu kawan-kawan yang tidak tahu. Tidak lokek kongsi nota cantik, salin cetak dan beri kepada kawan yang tidak berkemampuan.

Kata-kata seperti:

“Tadi aku tengok kau tidak berapa faham jawab soalan Matematik, aku tahu sikit-sikit dan kalau kau nak aku boleh tolong tunjuk.”

Menariknya, saya dapati mereka yang suka membantu kawan ini ditakdirkan ALLAH beri mereka kemampuan lebih semasa dalam dewan peperiksaan sebenar.

Dengan kata lain, mereka yang suka bantu kawan ini, banyak yang mengingati fakta. Kadang-kadang terlupa tapi tiba-tiba ingat seketika dan sempatlah salin pantas-pantas sebelum terlupa kembali (mungkin, barangkali ALLAH bantu orang yang suka tolong orang).

Akhirnya yang suka bantu kawan ini dapat yang terbaik, mudah dapat tawaran sambung belajar dan lebih menarik mudah dapat kerja. Lihat, betapa Maha Adilnya ALLAH pada orang yang baik-baik ini.

6) Tekan suis lampu tengah malam

Mula-mula mereka kata,

“Saya sedar diri sebelum ini kurang berjaga malam untuk belajar. Saya alpa dan leka. Tapi tahun akhir ini (Sijil Pelajaran Malaysia) saya mahu pulun dan tebus. Yang sudah lepas memang tidak boleh ubah. Yang sekarang dan ke depan saya mahu berjaga malam.

“Saya mesti penat dan letih di tahun akhir ini. Tahun ini saya mesti jadi lebih baik, mesti lain dari tahun-tahun kebelakangan ini. Saya mahu hidupkan malam-malam yang mampu untuk belajar. Hebat bukan?”

7) Jumpa ibu, ayah atau penjaga dan berani ‘cakap sesuatu’

Mereka tidak sombong pada ibu bapa atau penjaga. Walau malu, mereka kuatkan semangat ucap mohon maaf pada ibu bapa dan penjaga terhadap salah dan silap yang lalu.

Walaupun ada beberapa perkara ‘tidak sehaluan’ dengan ibu bapa/penjaga namun mereka raikan juga dengan hormati dan sanjungi kedua-duanya. Kemudian, barulah pelajar mohon ibu bapa doakan kejayaan.

Tidak hairanlah golongan ini cemerlang sebab masing-masing jelas terang lagi bersuluh meminta ibu bapa dan penjaga doakan mereka.

Di sini kita lihat betapa besarnya aura ibu bapa dan penjaga yang cemerlang untuk hasilkan anak-anak cemerlang.

8) Mohon restu guru ‘awal’

Kita mesti didik pelajar agar sentiasa mohon restu guru setiap kali selesai pembelajaran harian dan menuntut ilmu dengan cikgu.

Inilah yang kebanyakan pelajar cemerlang buat, mereka baik dengan cikgu, ringan tulang membantu dan suka buat hal-hal baik yang cikgu suka.

Mohon restu awal ini banyak manfaatnya. Bila cikgu suka, rasa dihargai, seronok, maka doa para guru lebih mudah makbul sebab bait dipinta lahir dari nurani yang bahagia. Insya-ALLAH.

9) Formula ‘T-T-H-D’

T-Tahajud, T-Taubat, H-Hajat, D-Dhuha

Setiap satunya dua rakaat sahaja, jumlah keseluruhannya lapan rakaat. Pelajar hebat mereka malu hendak mengaku buat yang ini. Saya dapat tahu pun sebab saya selidik secara terperinci dan dari hati ke hati.

Rupa-rupanya, mereka rajin tunaikan Sunat Tahajud, Sunat Taubat, Sunat Hajat dan Sunat Dhuha. Usai Tahajud, mestilah Taubat dulu, barulah memohon Hajat. Kemudian mantapkan dengan Dhuha. Patutlah cemerlang dan tenang mereka ini.

Artikel berkaitan 

Nak jadi peguam tetapi tidak tahu laluan yang betul? Mohon hadam info penting ini

Kemahiran dan kreativiti elemen penting, Ili Sulaiman sifatkan ia diperlukan dalam bidang kulinari 

Fakta menarik untuk pelajar ambil tahu; 4 mata wang nilai paling tinggi di dunia 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan