Tempat belajar menunggang kuda, ini antara senarai yang boleh dikunjungi
Tempat belajar menunggang kuda, ini antara senarai yang boleh dikunjungi

Tempat belajar menunggang kuda, ini antara senarai yang boleh dikunjungi

Roshlawaty Md Raieh
14 Mar 2022 11:58am
A
A
A

Aktiviti menunggang kuda dilihat sebagai satu riadah luar yang makin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita.

Ini kerana, pelbagai pendedahan dan keistimewaan sukan berkuda telah diuar-uarkan, malah ramai mengandaikan kemahiran menunggang kuda boleh dikuasai segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur.

Jurulatih Berkuda, Nadi Equestrian, Abu Dzar Az-Zawra, 36, berkata, terlalu banyak manfaat aktiviti berkuda dari sudut kesihatan terutamanya seperti pembaikan postur badan dan keseimbangan.

“Namun yang paling menarik minat saya ialah sukan berkuda ini dapat membina tahap kepimpinan.

“Bayangkan untuk mengawal kuda yang saiznya dua atau tiga kali ganda saiz tubuh manusia, namun ia dapat dikawal mengikut arahan walaupun penunggangnya seorang kanak-kanak.

Abu Dzar

"Latihan ketegasan dalam memberi arahan serta pengawalan pergerakan kuda agar selari dengan arahan secara tidak langsung membina jati diri dan tahap kepimpinan penunggang.

“Penunggang baharu biasanya agak sukar untuk mengawal kuda kerana kurang keyakinan serta tiada ketegasan. Matlamat latihan bukan sekadar penunggang stabil dan tidak jatuh, mereka juga perlu menguasai kaedah pengawalan kuda yang betul agar kuda sentiasa menyempurnakan tugas yang diberikan dan kadar keyakinan diri penunggang kuda biasanya akan meningkat setelah kerap menjalani latihan,” katanya ketika ditemu bual Sinar Bestari baru-baru ini.

Beliau yang sudah berkecimpung dalam sukan kuda sejak tahun 2013 memberitahu, menunggang kuda sangat sesuai bagi pelajar sekolah.

“Menunggang kuda sangat memerlukan keseimbangan seluruh badan dan kerana itu, otak akan bekerja keras agar badan sentiasa seimbang.

“Kesan latihan berkuda bagi seorang pelajar dapat dilihat di mana kategori lemah berfikir biasanya akan lebih cergas. Yang terlalu aktif pula menjadi lebih teratur cara berfikirnya dan pengalaman saya sendiri melihat perubahan ketara pada kanak-kanak istimewa seperti austime apabila mereka mengikuti sukan berkenaan,” ujarnya.

Baca juga 

Inspirasi ramai! Pelajar 10A+ SPM kongsi rahsia kejayaan untuk calon SPM 2021

Gigih cungkil bakat murid Orang Asli dalam robotik. Akhirnya, usaha Cikgu Mohd Zulkhairi berbaloi!

Sementara itu, untuk menjadi seorang penunggang kuda yang hebat, Abu Dzar berkongsi beberapa tip menarik untuk pembaca Sinar Bestari.

“Penguasaan aktiviti berkuda memerlukan ‘memori otot’ yang kuat di mana ia terhasil apabila latihan diadakan dengan kerap.

“Selain itu, setiap penunggang juga, perlu menguasai kemahiran asas dalam tempoh yang ditetapkan. Setelah mahir, disarankan berlatih pula dengan kuda-kuda yang berbeza di pusat atau kelab kuda lain bagi meningkatkan mutu pengawalan kuda kerana setiap kuda mempunyai karakter yang berbeza,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abu Dzar berkata, aktiviti berkuda tetap ada risikonya walaupun ia antara sukan kegemaran ramai.

“Risiko jatuh sangat tinggi. Sebab itu, penunggang perlu mencari tempat bersesuaian bagi membantu meringankan risiko kecederaan sekiranya jatuh,” jelasnya.

Sebagai membantu peminat sukan berkuda menjalani latihan atau menunggang kuda sebagai hobi, Abu Dzar kongsikan beberapa tempat untuk beriadah dengan sukan berkenaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ini senarainya

1) Tempat berpasir seperti di tepi pantai sangat baik untuk latihan berkuda. Baik untuk kaki kuda dan kurang risiko cedera bagi penunggang. Terdapat juga pusat latihan berkuda yang kebiasaan menggunakan pasir di arena mereka.

2) Kawasan latihan seperti di trek hutan juga sangat baik untuk melatih stamina kuda dan menguatkan otot kuda apabila mendaki dan menurun kawasan berbukit. Namun latihan di trek hutan tidak sesuai untuk penunggang baharu.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

3) Kunjungi tempat menunggang kuda yang ada di sekitar anda, misalnya:

3.1) Nadi Equestrian

Nadi Equestrian antara pusat latihan berkuda di Johor yang beroperasi di Pusat Ekuin Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Selain memiliki prasarana yang lengkap serta arena yang luas, ia juga menyediakan perkhidmatan penjagaan kuda persendirian bagi mereka yang memiliki haiwan tersebut. Kawasan di dalam institusi pengajian yang terdapat fasiliti dan berdekatan dengan kawasan kunjungan lain seperti taman rusa, menjadikan ia tarikan pengunjung yang gemarkan kuda. Terdapat lebih 15 ekor kuda dan uniknya ia memiliki baka kuda Belgian Draft, satu-satunya di Malaysia.

3.2) Taman Ekuestrian Putrajaya

Terletak di Presint 5, Putrajaya, taman ini diapit oleh tasik yang sangat cantik. Taman seluas 28 hektar yang dimiliki oleh Perbadanan Putrajaya II ini menawarkan kemudahan dan perkhidmatan ekuestrian yang terkemuka setanding dengan taman-taman terkenal di seluruh dunia.

3.3) Titiwangsa Horse Stable

Tempat ini terletak di dalam Taman Tasik Titiwangsa. Penggemar sukan ini berpeluang untuk menunggang kuda dengan harga yang sangat murah dan berpatutan, malah ia juga sesuai untuk anak-anak kecil mencuba sukan berkenaan.

3.4) Denai Alam Recreational and Riding Club (DARC)

DARC yang terletak di Denai Alam, Selangor merupakan pusat ekuin yang sesuai untuk aktiviti keluarga. Terdapat beberapa kemudahan asas bagi memastikan keselesaan semua penunggang kuda.

3.5) 3Q Equestrian Centre

Ini adalah ladang menunggang kuda milik persendirian seluas 12 hektar yang ditubuhkan sejak tahun 1990 dan merupakan tempat latihan dan pertandingan di Asia Tenggara. Di sini juga mereka telah melahirkan ramai atlet ekuestrian terkemuka.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan