no image

Tip kuasai murid 'slow leaner' cicir dan masalah pembelajaran, ini yang Ustazah Aminah kongsikan

Roshlawaty Md Raieh
19 Apr 2021 08:42am
A
A
A

Mengendalikan murid 'slow leaner' cicir atau murid yang mempunyai masalah pembelajaran bukanlah satu tugas yang mudah.

Ini diakui sendiri Guru Pendidikan Islam, Ustazah Aminah Mat Yusoff kepada Sinar Bestari.

Beliau berkata, pelbagai pertanyaan yang diterima dalam kalangan masyarakat berkaitan murid berkenaan.

"Setiap kali persoalan ini diajukan, saya terbayangkan satu firman ALLAH SWT dan inilah jawapan padu kepada segala persoalan sahabat. Baca dan hadamkan. Moga bermanfaat," katanya.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 269 yang bermaksud:

ALLAH memberi Hikmah kebijaksanaan (Ilmu yang berguna)...Kepada sesiapa yang dikehendakiNYA (menurut aturan yang ditentukan oleh ALLAH). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia diberikan kebaikan yang banyak.

Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

JELAS

Hanya ALLAH yang mampu tanamkan benih ilmu dalam hati dan fikiran manusia.

Usaha seorang guru ialah menyampaikan atau memberi tunjuk ajar sebaiknya, soal kepandaian serahlah pada ALLAH.

Inilah kunci sebenar kepada sifat reda dan menerima segala kelemahan yang ada pada murid.

Ya FATTAH,

Yang maha membuka.

Bukalah pintu hati kami dan anak didik kami untuk menguasai ilmuMU.

Hanya Engkaulah tempat kami menumpahkan kesedihan dan gundah gulana.

Ya ‘ALIIM,

Engkau maha mengetahui hikmah apa yang kami dan anak didik kami akan perolehi, kurniakanlah kebijaksanaan kepada kami untuk menerima dan menilainya.

1) Ilmu itu milik ALLAH SWT

ALLAH SWT pernah berfirman dalam surah al-Hadeed ayat 2

Maksudnya "...Dan DIAlah yang maha berkuasa ke atas setiap sesuatu”

Setinggi mana ilmu dan kepakaran yang kita miliki sebagai guru, kena yakin dan percaya semuanya milik ALLAH SWT. Jangan pernah merasa kecewa jika penerimaan murid terhadap kemahiran yang kita ajar adalah berbeza-beza.

Lapangkan fikiran, cikgu sudah menjalankan amanah sebagai pendidik, sedaya upaya membantu memulihkan anak didik yang mempunyai masalah pembelajaran. Akhirnya kembalilah kepada ALLAH SWT pemilik akal dan hati anak-anak ini untuk menyerapkan dan hadamkan ilmu yang kita ajar.

2) Ta’aruf dan bina keyakinan diri

Biasanya murid slow leaner sangat sinonim dengan sikap introvert (senyap dan suka bersendirian) dan inferior (rendah diri).

Perkara paling asas dan utama untuk membantu anak ini adalah bina keyakinan mereka dan beri kekuatan yang selama ini mereka benamkan jauh dari sudut kehidupan.

Carilah apakah punca masalah murid kita. Kelemahan dan kekurangan ini akan menjadi tembok dan penghalang untuk mereka keluar dari kepompong.

Cikgu jadilah hero dan heroin mereka dengan memecahkan tembok yang ada, binalah keyakinan diri mereka untuk menjadi murid yang hebat.

Tidak susah...percayalah, Saya pernah bantu murid yang mempunyai rasa rendah diri kerana memiliki sedikit kecacatan pada anggotanya (tidak sampai OKU), selalu mengasingkan diri dan jarang memberi respon. Satu hari saya dapat bersendirian dengan anak ini. Alhamdulillah, semuanya ilham dan pertolongan dari ALLAH.

Saya beritahu dia

"Semua yang ALLAH cipta adalah sempurna, tidak ada kekurangan sedikit pun walaupun manusia memandang kita berbeza. Ingat! ALLAH hanya menilai kebersihan dan kebaikan hati untuk jadi orang hebat."

Alhamdulillah, selepas peristiwa itu dia rajin jumpa saya untuk mintak tunjuk ajar...SIMPLE...Inilah permulaan yang kita mahu.

3) Cari kekuatan

Carilah kekuatan yang ada pada mereka, pupuk dan kembangkan. Kekuatan yang ada mampu menjadi baja untuk menyuburkan semangat dan potensi diri.

4) Tenang dan jauhi tekanan

Seorang sahabat pernah meluahkan perasaan. Murid yang diajar hanya dapat menguasai sedikit sahaja kemahiran walaupun berjam-jam mengadap. Esok belum tentu ingat seperti mencurah ke daun keladi. Merasa sangat sia-sia di atas segala usaha yang dilakukan.

Sikap berputus asa akan menghilangkan rahmat ALLAH SWT.

Jadi orang yang paling tenang dan penyabar kemudian tunggulah khabar gembira dari ALLAH. Percaya atau tidak perasaan tertekan guru menjadi penyumbang utama kepada kemurungan dan melahirkan murid yang tercalar emosinya.

Ajarilah mereka ikut kemampuan, bukan mengejar silibus. Jangan memberi tekanan kepada murid kerana mereka dilahirkan dalam keadaan yang berbeza dengan murid biasa. Terimalah kenyataan itu, jangan samakan dengan murid arus perdana.  Abaikan silibus yang bertimbun, ajarlah mereka dengan berhikmah kerana itulah yang tuntut oleh agama.

Santuni mereka sebaiknya, biasanya murid begini lebih dalam kasih dan sayangnya pada cikgu. Sanggup berkorban, bersusah payah kerana cikgu. Kenali dan bangunkan potensi mereka. Sekalipun mereka tidak boleh jadi pandai, tapi mereka boleh jadi orang baik dan bertanggungjawab dalam masyarakat.

5) Kongsi dengan ibu bapa

Penting! Siapa pun ibu bapa mereka, kongsilah sedikit sebanyak perkembangan anak-anak ini. Cikgu sangat perlukan kesinambungan. Ibu bapa yang mengetahui perkembangan pembelajaran anak mereka akan lebih prihatin dan mengambil berat segala keperluan anak.

Mohon ibu bapa anak-anak ini titipkan doa supaya ALLAH permudahkan urusan guru mendidik dan menyampaikan ilmu kepada anak mereka.

Cikgu boleh kongsikan doa ini untuk ibu bapa baca:

Setiap pagi sebelum ke sekolah, ibu atau ayah letakkan telapak tangan kanan di ubun-ubun kepala anak kemudian bacalah:

Salawat pada nabi

Ya Qawiyy 3x

Ya ‘Aziiz 3x

Ya Jabbaar 3x

Ya Mutakabbir 3x

Surah As-Syarh 1x

Akhiri dengan salawat

Kemudian sapu muka dan dada anak.

6) Tawakal

Tawakal kepada ALLAH SWT akan menjadikan seorang guru memiliki hati yang kuat dan teguh, sentiasa merasa tenang dengan takdir ALLAH. Jika menerima kebaikan, tidak lupa untuk bersyukur, jika menerima ujian sentiasa bersabar.

Beruntungnya cikgu yang mengajar anak-anak ini, mereka ALLAH kurniakan akal yang sentiasa berputar, mencetuskan inovasi yang pelbagai, aplikasi teknik-teknik yang pelik tapi luar biasa. Hikmah ALLAH bagi kita anak-anak syurga ini.

Sumber: Facebook Aminah Mat Yusoff

Artikel berkaitan

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!

Ustaz Quszaini kongsi 4 kaedah mudah hafal surah

7 punca anak-anak jadi pembuli, ibu bapa mesti tahu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan