stephen-phillips-hostreviews-co-uk-LR_wX_klOPM-unsplash (1)
stephen-phillips-hostreviews-co-uk-LR_wX_klOPM-unsplash (1)

WiFi selalu tidak stabil, ini puncanya yang perlu anda tahu

Mohd Khairi Mohamad Yusri
25 Oct 2021 11:38am
A
A
A

Kita akan jadi agak risau apabila sambungan WiFi di rumah tidak stabil. Apatah lagi jika terlibat dengan perkara penting seperti terdapat pembentangan, kuiz dan sebagainya. Namun sebelum kita merungut, kita perlu tahu apakah puncanya.

Berikut kami kongsikan antara punca yang menjadi penyebab kepada WiFi tidak selalu stabil.

1. Terlalu banyak peranti yang disambungkan dalam satu-satu masa

Beberapa tahun lalu, setiap rumah kebiasaannya hanya mempunyai satu atau dua komputer yang disambungkan ke internet. Tetapi kini, dengan kewujudan telefon pintar, iPad, TV pintar dan banyak lagi, semua peranti tersebut akan menggunakan sambungan wifi yang sama, jadi tidak hairanlah jika sambungan internet akan selalu bermasalah.

Walaupun peranti tersebut sedang tidak digunakan, ia masih lagi akan memakan data bandwidth internet. Perkara ini akan menyebabkan sambungan internet di peranti lain turut menjadi perlahan.

Cara penyelesaiannya adalah dengan mematikan sambungan peranti yang tidak digunakan dari WiFi.

Cara paling mudah adalah dengan menukarkan semula kata laluan Wifi. Perkara ini akan menyebabkan semua sambungan asal terputus, kemudian masukkan semula kata laluan yang baru di peranti yang diinginkan.

Akhir sekali, anda mungkin perlu menaik taraf sambungan internet yang digunakan.

Pertama, lakukan ujian kelajuan untuk memeriksa kelajuan semasa. Mungkin jumlah peranti yang digunakan adalah terlalu banyak dan tidak dapat ditanggung oleh pelan internet yang anda langgan.

Jika ini kesnya, hubungi penyedia sambungan internet anda untuk bertanyakan mengenai penaiktarafan sambungan internet yang lebih tinggi. Tetapi anda mungkin ingin mencuba beberapa tip lain di bawah terlebih dahulu.

2. Router berada di tempat yang tidak sesuai

Ini adalah punca yang paling selalu terjadi dalam masalah ini.

Jika pusat akses anda tersorok di dalam almari atau di tempat-tempat lain, dan peranti yang anda cuba sambungkan berada di tepi luar lingkaran isyaratnya, pastinya isyarat sambungan akan menghadapi penurunan, perkara ini akan berterusan sehingga anda pergi ke kawasan yang lebih hampir dengan router.

Cara untuk menyelesaikannya adalah dengan memasang router di kawasan penggunaan WiFi yang paling banyak.

Pastikan kawasan routers tersebut tidak menerima sebarang halangan yang boleh menyebabkan pancaran isyaratnya terbantut. Pastikan juga ia tidak diletakkan berdekatan objek-objek yang boleh memantulkan cahaya seperti kaca, cermin dan logam, kerana isyarat WiFi cenderung untuk melantun semula jika terkena objek berkenaan.

3. Gangguan pada isyarat radio

Kebanyakan orang meletakkan router WiFi bersebelahan telefon rumah tanpa wayar, peranti Bluetooth dan juga TV. Semua ini akan menyebabkan isyarat yang berlainan yang terhasil daripada semua peranti tersebut akan saling mengganggu satu sama lain dan akhirnya mengakibatkan penurunan isyarat WiFi.

Gangguan radio juga mungkin berlaku jika anda tinggal di bangunan pangsapuri atau kondo di mana setiap rumah mempunyai router WiFi masing-masing.

Cara membaikinya adalah dengan menukar saluran WiF, banyak aplikasi yang boleh digunakan seperti WiFi Analyzer yang akan menunjukan saluran WiFi yang banyak digunakan di satu-satu kawasan, dari situ ubah saluran WiFi di router anda kepada saluran yang paling kurang.

Alternatif lain, gunakan frequency 5 GHz di WiFi kerana penggunaan isyarat radio ini adalah sangat kurang berbanding frequency 2.4 GHz.

4. Wireless Card's driver perlu dikemaskini

Pemacu (drivers) pada peranti elektronik, seperti mesin pencetak dan komputer memerlukan kemas kini mengikut jadualnya, jika tidak, ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Sekiranya menghadapi masalah penurunan prestasi WiFi hanya ada pada satu peranti sahaja, lihat dahulu sama ada pemacunya perlu dikemas kini.

5. Routers memerlukan rehat

Ramai orang hanya menyalahkan peranti jika sambungan internet menjadi perlahan. Tetapi pada masa yang sama mereka sentiasa membiarkan telefon bimbit, komputer riba dan pelbagai jenis peranti digital yang lain berfungsi sepanjang masa, dan mengharapkan sentiasa berfungsi pada tahap yang terbaik. Router juga tidak terkecuali daripada kebiasaan ini, sebenarnya semua peranti tersebut memerlukan masa untuk berehat juga.

Cara menyelesaikan isu ini sangat mudah iaitu hanya perlu matikan routers dan modem dan cabut semua wayar untuk sekurang-kurangnya 30 saat.

6.Anda memerlukan peralatan baru

Kadang-kadang, semua ‘restart’ dan penyesuaian semula tidak akan memberikan apa-apa kesan. Dalam kes ini, mungkin sudah tiba masa untuk menggunakan teknologi yang lebih baru.

Ini kerana router lama akan menjadi kurang serasi dengan perkhidmatan yang lebih baru, ia mungkin dapat berfungsi semula setelah di reset, tapi ianya hanya penyelesaian sementara, dan masalah tersebut akan kembali semula.

Semoga perkongsian ini membantu menyelesaikan masalah sambungan WiFi yang ada di rumah anda.

Sumber: Howstuffwork

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan