qodeemportal
qodeemportal

Trick dan Flip, pergerakan unik dalam sukan papan selaju, perlukan kemahiran untuk beraksi dengan lancar dan selama

Mariatul Qatiah Zakaria
29 Sep 2021 06:51pm
A
A
A

Melihat pelbagai aksi yang dipamerkan oleh pemain papan selaju membuatkan kita sering terfikir adakah sukan ini selamat untuk diceburi?

Perlukah kita menguasai kemahiran yang ada di dalam sukan tersebut bagi membolehkan kita beraksi dengan selamat?

Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, anak muda kelahiran Shah Alam, Selangor, Syed Qodeem Hayyan Syed Jamal Abdul Nasir, yang sememangnya aktif di dalam sukan ekstrem ini menjelaskan, kemahiran diperlukan untuk menghasilkan pelbagai pergerakan dan tricks yang cantik.

Bagaimanapun ujarnya, sebelum mempelajari segala teknik dalam sukan papan selaju, mereka yang ingin melibatkan diri secara aktif dinasihatkan agar mendalami  kemahiran utama iaitu  'tidak putus asa' dan 'sabar'.

"Kedua-dua kemahiran ini dilihat tidak ada dalam diri anak-anak muda hari ini, cepat mengalah dan mudah putus asa apabila tidak dapat atau lambat menguasai segala tricks dan pergerakan dalam sukan lasak ini.

“Tidak dinafikan skateboarding memerlukan kreativiti dan kemahiran untuk menjadikan segala pergerakan lancar sekali gus mengurangkan risiko kecederaan.

“Begitu juga dengan teknik menguasai skateboard, ini penting agar kita mampu mengawalnya dengan baik.

“Bagaimanapun, kemahiran sebenar yang diperlukan untuk menguasai sukan ekstrem ini ialah jangan mudah putus asa dan juga sabar di mana kedua-dua kombinasi kemahiran ini perlu ada di awal pembabitan dalam usaha menjadikan diri lebih berdisiplin, yakin dan berani,” katanya.

Keunikan yang tersendiri

Syed Qodeem yang baru berusia 20 tahun menyifatkan kebanyakan remaja memilih sukan ini disebabkan aktivitinya yang mencabar dan mempunyai gaya serta keunikan yang tersendiri.

Frontside flip transfer antara trick yang sering dilakukan pemain papan selaju.

Ini dapat dilihat pada segala tricks dan flip yang dilakukan serta tidak ketinggalan cara-cara mengawal papan selaju mengikut rentak masing-masing.

Bagi sesetengah individu sukan papan selaju dilihat sebagai sukan ekstrem, radikal dan berbahaya tetapi hari ini ia menjadi sukan yang digemari ramai.

Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya dalam bidang ini, Syed Qodeem memberitahu, dia mula mengenali dan meminati sukan ini pada tahun 2009.

Pada awalnya, dia sekadar menjadikan sukan ini sebagai hobi bagi mengisi masa lapang.

Namun bermula pada 2012 Syed Qodeem mengambil keputusan untuk terus aktif dan lebih serius sebagai pemain papan selaju.

“Saya mula bermain skateboard sejak berusia sembilan tahun malah kesemua adik beradik yang lain turut aktif dalam sukan ini.

“Melihat pada potensi yang ada, saya akhirnya membuat keputusan untuk lebih serius dan menjadi seorang pemain papan selaju profesional," tambahnya lagi.

Impian mewakili negara

Semestinya minat yang ada ditambah dengan segala latihan yang dilakukan bukan sekadar memenuhi masa lapang, Syed Qodeem pernah memenangi emas dalam dua pertandingan tempatan yang disertainya pada 2018 dan 2019.

Syed Qodeem, anak muda yang bercita-cita tinggi.

Kini, impian anak bongsu ini tertumpu untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa dan untuk permulaan, dia menyasarkan untuk menyertai temasya Sukan Asia Tenggara.

“Untuk mewakili negara bukanlah satu perkara yang mudah kerana kita perlu mengumpul mata pada setiap pertandingan di peringkat tempatan sebelum layak untuk bertanding dalam sukan SEA.

“InsyaALLAH dalam tempoh dua tahun ini saya akan lakukan sebaik mungkin untuk melayakkan diri mewakili negara ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.

Hari ini dengan adanya MYSKATE, bakat-bakat baru dan terbaik dalam sukan papan selaju dapat dikesan dan diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok