'Terima kasih abang, hati-hati tau bawa motor' - Video pesanan gadis cilik tular, papar hasil didikan terbaik ibu bapa
"Terima kasih abang, hati-hati tau bawa motor."
Kedengaran pesanan si gadis cilik setiap kali pekerja khidmat penghantar makanan sama ada Foodpanda atau Gradfood melaksanakan tugas menghantar juadah yang dipesan ke rumahnya.
Tindakan gadis cilik berkenaan dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) rumahnya dan setiap kali pekerja berkenaan menghantar makanan pastinya diakhiri dengan pesanan ringkas namun bermakna buat mereka.
Video memaparkan klip adik perempuan berdurasi 45 saat itu ternyata menunjukkan hasil didikan ibu bapa yang memainkan peranan penting untuk membentuk sikap anak-anak menjadi lebih mesra dan paling utama adalah menghormati antara satu sama lain.
Sehingga kini video tersebut telah berjaya menambat hati warga maya hingga meraih 222,200 ribu tanda suka selain turut menerima komen yang rata-ratanya memuji hasil didikan ibu bapa terhadap gadis cilik itu.
Antara komen yang dipetik adalah:
"Sedikit sahaja dia ucap untuk ‘abang rider’ tetapi boleh hilangkan sejuta stres sekelip mata. Besar makna yang kita ucap kepada orang lain."
"Peribadi anak mencerminkan cara didikan mak ayah. Boleh dijadikan contoh terbaik untuk semua orang.”
"Semalam buat ‘grab’ dapat merasa situasi sebegini. Seronok rasa. Anaknya siap hulurkan duit tip sekali, nampak peramah. Pesanan hati-hati bawa motor buat senyum sampai ke telinga."
"Percayalah, apabila adik itu ucap terima kasih dan hati-hati naik motor, sepanjang hari abang tersebut senyum mencari rezeki sebab sikap positif adik ini memberi dorongan kuat dalam penat lelah."
"Seronok lihat video seperti ini. Yang si adik prihatin, yang ‘abang rider’ pun ramah membalas balik."