Ustazah Nik Mahizan meninggal dunia pagi Jumaat lalu dengan tenang dan mudah, menurut Cikgu Fadli.
Ustazah Nik Mahizan meninggal dunia pagi Jumaat lalu dengan tenang dan mudah, menurut Cikgu Fadli.

‘Ustazah Nik Mahizan…pemergiannya sangat mudah dan tenang. Insya-ALLAH syurga buat ustazah’ - Bekas guru

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
18 Nov 2024 12:41pm

Berita pemergian mantan guru Kolej Islam Sultan Alam Shah ((KISAS), Klang, Selangor, Ustazah Nik Mahizan Nik Mohamed Jumaat lalu, mengejutkan ramai.

Ini kerana, Allahyarham meninggal dunia tanpa sebarang sakit berat dan tanpa tanda beliau akan ‘pergi’ pada hari tersebut.

Menerusi beberapa perkongsian di laman sosial, Sinar Bestari mendapati kematian Allahyarham Ustazah Nik Mahizan mengundang sebak ramai.

"Khabar duka diterima, guruku yang mulia, kesayangan semua pelajar KISAS, Ustazah Nik Mahizan berangkat ke negeri abadi.

Seorang yang lembut dalam bicara, seorang yang menyayangi pelajarnya bagai ibu mereka sendiri, seorang yang sentiasa memberi kata semangat waktu pelajarnya down dan give up.

Beliau cukup disenangi semua orang, baik rakan, murid, jiran dan sesiapa sahaja. Pagi tadi (Jumaat) pergi dengan tenang dan mudah, alhamdulillah.

Tanpa sebarang sakit berat, tanpa tanda beliau pergi, sememangnya memberi kejutan pada ramai orang.

Keramat hidup KISAS ini pergi di pagi Jumaat yang mulia. Insya-ALLAH syurga buat ustazah," tulis bekas guru, Mohd Fadli Salleh di Facebook.

Artikel Berkaitan:

Selain catatan Cikgu Fadli yang meruntun hati, Sinar Bestari menemui satu lagi perkongsian ringkas di Facebook yang memberikan rasa sebak, sedih dan sayu ketika membacanya.

"Beliau guru yang sederhana, tetapi memberikan kesan tanpa disedari. Sentuhan ustazah mengajarkan saya erti berilmu dan tawaduk. Ustazah belajar di Mesir dan menyambung master di Jordan dalam bidang Bahasa Arab (kalau tak silap).

Masih terngiang-ngiang suara beliau. Dia sahaja guru yang memanggil saya Pozan, hingga waktu akhir kami bertemu (2022) ketika menziarahi beliau dan Ustaz Lah di Kedah, masih memanggil dengan panggilan mesra itu.

Sewaktu belajar di KISAS, beliau antara guru yang membimbing saya dalam syarahan Bahasa Arab hingga berjaya di peringkat Selangor dan kuiz Bahasa Arab hingga menang peringkat Kebangsaan. Bimbingannya sederhana dan sangat memberikan kepercayaan dan keyakinan.

Sebagai warden, ustazah sangat rapat dengan pelajar terutamanya ketua-ketua pelajar. Ketika diamanahkan sebagai ketua umum, ustazah pernah melihat kekurangan saya tetapi tidak pernah menyalahkan sebaliknya pandai menutupnya, dan hanya tersenyum melihat anak pelajarnya yang masih mentah.

Moga catatan ini dapat memahat memori bersama beliau dan supaya memberi inspirasi untuk saya menjadi pendidik yang ikhlas dan memberi manfaat.

Dengan pemergian pagi Jumaat dan kehadiran pelajar-pelajar ustazah serta tokoh-tokoh masyarakat untuk solat jenazah, menjadi saksi husnul khatimah seorang guru," kongsi pengguna Mohd Fauzan (Abu Husayn) di akaun Facebooknya pada Sabtu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp