DSC_9925-933x445
DSC_9925-933x445

126 graduan dirai dalam Majlis Konvokesyen Program Eksekutif UTHM

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
13 Dec 2022 11:06am

Seramai 126 orang graduan Program Eksekutif Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diraikan sempena Istiadat Konvokesyen ke- 22 pada 8 Disember lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM.

Majlis konvokesyen tersebut diadakan bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar yang berjaya menamatkan sesi pembelajaran Program Eksekutif UTHM.

Ia merangkumi dua peringkat pengajian iaitu Penganugerahan Diploma Eksekutif Imam Profesional TM kepada 66 graduan dan Diploma Lepasan Ijazah (PGDip) Pengajaran dan Pembelajaran Pengajian Tinggi kepada 60 graduan.

Penganugerahan Diploma Eksekutif Imam Profesional TM kepada 66 graduan. Kredit foto: UTHM.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM, Profesor Ts Dr Azme Khamis mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang menerima penganugerahan pada hari tersebut.

“Besar harapan saya kepada semua graduan supaya dapat memanfaatkan sebaik mungkin ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang mengikuti Program Eksekutif UTHM ini serta dapat mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan sebenar.

“Penganjuran majlis konvokesyen ini diharap dapat memberi semangat dan dorongan kepada graduan selain meningkatkan kecemerlangan universiti dalam membentuk hala tuju perjalanan program-program eksekutif dan profesional,” katanya ketika berucap pada majlis konvokesyen tersebut.

Program Diploma Eksekutif Imam Profesional dilaksanakan bagi meningkatkan profesionalisme pelapis imam dan juga sebagai kelayakan ikhtisas seorang imam profesional agar menjadi imam yang unggul dalam membimbing masyarakat ke arah kejayaan dan penghayatan Islam.

Manakala, Program Diploma Lepasan ljazah (PGDip) Pembelajaran dan Pengajaran Pengajian Tinggi, UTHM pula dilaksanakan bagi melatih staf akademik secara lebih formal dan sistematik sebagai usaha memartabatkan kecemerlangan akademik.

Program ini juga bagi memberi peluang kepada staf akademik melengkapkan diri dalam pelbagai aspek kemahiran demi melahirkan graduan yang berkualiti selaras dengan perubahan dan cabaran di dalam dunia pendidikan.

Dalam pada itu, majlis tersebut turut menyaksikan tiga graduan terpilih menerima Anugerah Khas YB Dato’ Haji Md Rofiki bagi penganugerahan Diploma Eksekutif Imam Profesional.

Artikel berkaitan

Muhammad Faris dan Chun An, graduan cemerlang UTHM terima Anugerah Pelajaran DiRaja

Graduan UPSI jual lebih 17,000 buku tajwid tampung kos sara hidup semasa pengajian

Hasrat bapa lihat kejayaan anak di pentas konvokesyen tidak kesampaian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp