buletin-utem2 (1)-latest
buletin-utem2 (1)-latest

24 siswa UTeM ditauliah Leftenan Muda

webadmin
17 Dec 2021 04:18pm
A
A
A

MELAKA - Seramai 24 orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima pentauliahan sebagai Leftenan Muda (PA) di Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 tahun 2021, baru-baru ini.

Majlis telah diadakan secara hibrid (bersemuka dan dalam talian) di IPT masing-masing  dengan kapasiti yang minimum mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada majlis tersebut, Muhammad Hakimi Mohamad Zafridin, 25, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) telah dianugerahkan Pegawai Kadet Kor SISPA Terbaik UTeM 2021.

Beliau yang merupakan Presiden Kor SISPA UTeM bagi sesi 2018/2019 banyak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di peringkat universiti dan negeri Melaka.

Antaranya menyertai anggota sukarelawan Pertahanan Awam di Pusat Kawalan Operasi Daerah Melaka Tengah dan pernah bertugas di Pusat Pemindahan Sementara banjir di Melaka, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Komandan Kor SISPA UTeM, Penolong Persuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, karakter diri melalui keterlibatan dalam KOR SISPA merupakan salah satu platform yang sangat tepat dan membuahkan hasil yang cukup membanggakan kerana berjaya melahirkan modal insan yang terlatih dan berdisiplin.

Tambah beliau, mahasiswa UTeM amat digalakkan untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan melalui pelbagai program berbentuk khidmat komuniti, kemasyarakatan, badan beruniform dan sebagainya.

"UTeM amat menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti sepanjang tempoh pandemik melalui penugasan di bilik gerakan, bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan membantu dalam proses kemasukan semula pelajar baru-baru ini," ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Program yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini telah menganugerahkan 870 Pegawai Kadet KOR SISPA daripada 24 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan satu Institusi Pendidikan Guru (IPG).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok