"Anugerah Pelajaran Diraja ini khas untuk ayah dan ibu" - Iszuzuldin anak si pemandu e-hailing

Roshlawaty Md Raieh
14 Nov 2022 03:29pm
A
A
A

Melihatkan si ayah yang bekerja keras siang dan malam dengan menjadi pemandu e-hailing telah menyuntik semangat kepada anak muda ini untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

Baginya, hanya kejayaan yang cemerlang sahaja mampu menggembirakan hati si ayah sekali gus dapat mengubah kehidupan mereka.

Berbekalkan semangat dan tidak pernah kenal erti lelah, anak muda dikenali Iszuzuldin Amirull Mohd Janudin, 25, akhirnya diumum sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-18, baru-baru ini.

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri dan Robotik), Iszuzuldin berkata, ayahnya, Mohd Janudin Salleh, 57, cukup gembira dengan kejayaan yang diraih.

“Ayah dan ibu, Noraisah Ahmad, 50, sebak dan gembira dengan penganugerahan ini.

“Mereka sempat berpesan agar saya terus belajar dengan baik dan mencipta kecemerlangan di masa akan datang,” ujar Iszuzuldin yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.60 sekali gus menjadikannya antara penuntut cemerlang dalam majlis konvokesyen tersebut.

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur ini, kehidupan sederhana mereka sekeluarga bukanlah satu halangan untuk dia tampil cemerlang dalam pelajaran.

“Setiap orang ada ujian masing-masing. Kerana itu, saya sentiasa amalkan berfikiran positif, yakin dan percaya pada kemampuan diri serta berdoa kepada ALLAH agar dipermudahkan segala urusan,” ujarnya.

Iszuzuldin (kiri) dan Chi Yuan masing-masing dinobat sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UTeM Ke-18.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja iaitu Ng Chi Yuan, 24, melahirkan rasa kegembiraan kerana apa yang telah beliau usahakan selama pengajiannya di UTeM membuahkan hasil.

Ditanya mengenai kecemerlanganya itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik yang memperoleh PNGK 3.78 berkata, percaya pada diri sendiri, menetapkan matlamat tinggi dan sentiasa berusaha adalah rahsia kejayaan Chi Yuan sepanjang pengajian.

Iszuzuldin dan Chi Yuan adalah antara 3,149 graduan yang menerima diploma, ijazah, ijazah sarjana dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada Majlis Konvokesyen UTeM Ke-18.

Majlis Konvokesyen UTeM Ke-18 yang berlangsung selama tiga hari dan membabitkan enam sesi itu telah menganugerahkan Profesor Emeritus kepada bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Datuk Dr Mohd Nor Husain atas sumbangan dan pencapaian hebat beliau kepada universiti dan negara.

Pada majlis itu juga, Pengurus Besar STMicroelectronic Sdn Bhd, Tan Chun Sheng menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan manakala Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Datuk Ts Dr Amirudin Abdul Wahab pula menerima Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Maklumat.

Canselor UTeM, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam berkata, UTeM kini berjaya mencapai pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Menurutnya, aspek kebolehpasaran graduan UTeM 2021 turut mencatatkan pencapaian tinggi apabila 91 peratus graduan UTeM telah berjaya menempatkan diri mereka dalam pelbagai sektor pekerjaan terutamanya syarikat swasta Multinational dan tempatan.

“Kita kini berdepan dengan desakan era digitalisasi – Revolusi Industri 4.0. (IR 4.0), malah negara-negara maju juga sedang bersaing antara satu sama lain bagi mencapai fasa revolusi 5.0.

“Bagi memenuhi kehendak ini, graduan UTeM mesti terus berusaha hingga berjaya untuk kekal kompetitif di samping sentiasa menerokai ilmu-ilmu baharu yang boleh dijadikan sebagai nilai tambah kepada kualiti keperibadian diri para graduan,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UTeM.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pro Canselor UTeM, Datuk Dr Sabirin Ja’afar dan Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Halim Saad; Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin.

Artikel berkaitan 

2 Jurutera Pengajar wanita dari UTeM kini pengendali dron profesional 

“Terima kasih UNITEN” - Graduan cemerlang gagal UPU lega ditawarkan tempat dengan jurusan pilihan

Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok