portal-unimap
portal-unimap

Atlet UniMAP raih emas Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi

Mariatul Qatiah Zakaria
25 Apr 2022 05:22pm
A
A
A

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta kejutan apabila meraih pingat emas acara 200 meter (m) menerusi Mohamad Raimi Mustaffa Kamal sekali gus menumpaskan atlet-atlet elit kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sirkit 1 2022, baru-baru ini.

Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) UniMAP itu melakukan catatan masa 22.2 saat (s) manakala atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Saiful Safwan Saifuddin memperoleh pingat perak (22.24s) dan pingat gangsa buat Muhammad Aqil Yasmin daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan catatan masa 22.31s.

Mohamad Raimi berkata, walaupun pesaingnya adalah dalam kalangan atlet kebangsaan namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk melakukan yang terbaik dengan sokongan jurulatih dan keluarga.

“Sebelum ini saya dan rakan-rakan atlet berdepan cabaran seperti tidak dapat menggunakan trek untuk menjalani latihan berikutan pandemik selain saya juga diuji apabila positif Covid-19 menyebabkan terpaksa kuarantin selama 14 hari dan hanya mampu menjalani latihan ringan di rumah.

“Saya juga hanya sempat membuat persiapan dalam lima hari berikutan kecederaan hamstring tetapi saya percaya dapat melakukannya dengan baik sekali gus mampu menyumbang pingat emas kepada universiti,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah Mohamad Raimi, dia meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Sukan Universiti Dunia di China pada Jun ini serta Sukan Asia, justeru itu dia akan memberi tumpuan terhadap program latihan yang diberikan jurulatihnya, Muhammad Idris Zakaria yang juga kakitangan UniMAP.

Selain Mohamad Raimi, dua lagi pingat emas UniMAP disumbangkan oleh Teoh Kim Chyi menerusi acara 800m dan 400m wanita.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Profesor Dr Zaliman Sauli berkata, pasukan UniMAP berjaya membawa pulang tiga emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus meletakkan universiti itu di kedudukan ketiga keseluruhan kejohanan berkenaan yang diadakan di Kompleks Sukan Negeri Johor.

“Prestasi pasukan olahraga UniMAP amat membanggakan dan berharap momentum berkenaan dikekalkan supaya dapat terus mendominasi kejohanan berkenaan pada masa akan datang.

“Saya percaya walaupun bukan dalam kalangan atlet kebangsaan, namun hasil latihan dan tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman UniMAP dapat mencipta lebih banyak kejutan selepas ini,” jelasnya.

Kejohanan Olahraga IPT 2022 Sirkit 1 menyaksikan seramai 244 atlet yang mewakili 26 IPT menyertai 25 acara dipertandingkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok