HomeIPTBuletin IPTBertubuh kecil tetapi pensyarah UM hebat bemain catur

Bertubuh kecil tetapi pensyarah UM hebat bemain catur

Kecil-kecil cili padi. Itu yang dibuktikan oleh pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Ng Siew Cheok mengenai kehebatannya bermain catur.

Dr Ng yang berkongsi pembabitan awalnya dalam catur seperti dalam hantaran Facebook Universiti Malaya berkata, beliau mula bermain catur ketika berusia tujuh tahun untuk aktiviti ko-kurikulum sekolah.

Beliau berkata, hanya itu saja permainan yang difikirkan sesuai disebabkan saiz tubuhnya yang kecil berbanding rakan sebaya.

“Saya mula berjinak dengan permainan catur ketika berumur tujuh tahun.

“Saya tidak mengambil masa panjang untuk mempelajari peraturannya, apabila saya mula mengalahkan rakan sekelas, saya semakin seronok bermain catur.

“Kemudian, saya mengalahkan pemain lain yang jauh lebih tua dan berpengalaman, ia seolah-olah memberi satu suntikan motivasi untuk pergi lebih jauh,” ujarnya.

Beliau yang juga pensyarah kanan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan UM memberitahu, kemahirannya bermain catur diiktiraf UM sehingga diberi tanggungjawab sebagai jurulatih.

Ujarnya lagi, beliau cukup gembira dapat melatih anak buahnya dalam pasukan catur UM menghadapi pertandingan.

“Selain membantu mereka secara langsung mempersiapkan diri untuk menghadapi pihak lawan dalam pertandingan, peluang menjadi jurulatih juga memberikan saya kepuasan tersendiri.

“Saya gembira kerana berpeluang melihat pelajar UM menggilap potensi yang ada sehingga ke peringkat tertinggi, malah ada yang memperoleh rating setaraf pemain profesional antarabangsa,” ujarnya lagi.

Selain itu, ketika diminta berkongsi mengenai kariernya, Dr Ng berkata, kepakarannya adalah dalam bidang analisis isyarat fisiologi tubuh.

Tambahnya lagi, bidang berkenaan membabitkan isyarat otak (electroencephalography, atau EEG), jantung (electrocardiography atau ECG) dan otot (electromyography atau EMG).

“Penyelidikan saya memerlukan seseorang itu fokus, ini kerana, proses pengumpulan dan analisis data fisiologi ini memerlukan masa yang panjang,” katanya.

Artikel berkaitan

Pasangan kembar seiras teruja masuk UM bersama

Pasangan kembar seiras teruja masuk UM bersama

25 sukarelawan UM sertai program CSI


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok