UMT-STEM4
UMT-STEM4

Bidang STEM, UMT komited tingkat minat pelajar sekolah

Norliza Wasilan
23 Sep 2022 03:00pm
A
A
A

Pusat Asasi STEM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) komited untuk terus meningkatkan minat dan pembabitkan pelajar dalam bidang berteraskan Sains, Matematik, Teknologi dan Kejuruteraan (STEM).

Ini berikutan maklum balas positif diterima mengenai peningkatan minat golongan berkenaan dalam mata pelajaran itu.

Menurut pengasas yang juga Pengarah Pusat Asasi STEM UMT, Profesor Madya Dr Laili Che Rose, pihaknya setakat ini dapat melihat impak positif itu menerusi program yang dijalankan sebelum ini.

UMT menyediakan kaedah pembelajaran yang kreatif dan menarik bagi meningkatkan minat pelajar sekolah. Foto/UMT.

“Kami dapat melihat peningkatan penyertaan golongan itu dalam bidang sains yang diusahakan oleh pensyarah UMT, nampaknya ia semakin menunjukkan kejayaan.

“Antara kaedah digunakan dalam mempromosikan keunikan STEM bagi menarik minat mereka ialah mengadakan program berkaitan Sains yang unik serta mudah difahami,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Laili berkata, program berbentuk pemindahan ilmu secara hands-on juga turut dianjurkan di peringkat sekolah.

Ujarnya, pelbagai aktiviti dirancang seperti penganjuran STEM Boot Camp 2022 dengan kerjasama Persatuan STEM Kebangsaan Cawangan Terengganu yang akan mencungkil bakat pelajar dalam bidang berkenaan.

“Program seperti ini amat penting sebagai usaha melahirkan lebih ramai pelajar berbakat besar dalam bidang STEM bagi menyokong hasrat kerajaan menyediakan tenaga berkemahiran STEM,” ujarnya.

Antara aktiviti dilakukan UMT untuk Program Mentor Mentee STEM. Foto/UMT.

Selain itu, beliau berkata, menerusi Program Terengganu Peers STEM Coaching Boot Camp 2022 pula, ia membabitkan pemindahan ilmu daripada mahasiswa kepada pelajar sekolah elit dan kemudiannya pelajar sekolah harian biasa.

Ujarnya lagi, ia akan membabitkan dua fasa iaitu pelajar universiti menjadi mentor kepada pelajar sekolah elit ketika fasa pertama manakala untuk fasa kedua pelajar sekolah elit peranan menjadi mentor pula kepada pelajar sekolah harian biasa.

“Pelajar sekolah elit ini yang menjadi mentee dalam fasa pertama akan bertukar peranan sebagai mentor dalam fasa kedua.

“Ketika fasa kedua, pelajar sekolah elit ini akan memindahkan ilmu kepada pelajar daripada sekolah harian.

“Pelajar sekolah elit ini akan dibahagikan mengikut kumpulan berdasarkan modul ditetapkan seperti Modul STEM Kelautan; Modul STEM Kesihatan; Modul Eksplorasi STEM; Modul STEM Kreativiti dan Inovasi,” ujarnya.

Pendekatan kreatif mampu meningkatkan minat pelajar dalam STEM. Foto/UMT.

Dr Laili berkata, komitmen yang ditunjukkan semua pihak daripada ibu bapa, guru dan pelajar berjaya meningkatkan tahap kesedaran pentingnya bidang STEM.

“Ini kerana, hasrat mewujudkan generasi pelapis yang berupaya memacu negara ke arah negara maju memerlukan komitmen di segenap lapisan masyarakat,” tambahnya.

Artikel berkaitan

STEM4FUN, galak minat pelajar bidang STEM

Lestarikan tulisan jawi melalui ilmu falak dan STEM

Robot tarik tali, pupuk minat murid dalami bidang STEM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok