3 tokoh berwibawa terima anugerah khas sempena konvokesyen ke-18 UTeM
3 tokoh berwibawa terima anugerah khas sempena konvokesyen ke-18 UTeM

3 tokoh berwibawa terima anugerah khas sempena konvokesyen ke-18 UTeM

Roshlawaty Md Raieh
03 Nov 2022 09:34am
A
A
A

Tiga anugerah khas iaitu Anugerah Profesor Emeritus; Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Maklumat akan diberikan kepada tokoh terpilih pada Majlis Konvokesyen ke-18 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bermula 5 hingga 7 November ini.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, anugerah khas tersebut diberikan kepada barisan tokoh yang berwibawa, berpengalaman luas dan telah memberi sumbangan hebat dalam bidang kepakaran mereka sekali gus menyumbang kepada negara.

Tambah Massila, majlis konvokesyen ke-18 itu membabitkan seramai 3,149 graduan yang terdiri daripada graduan diploma, sarjana muda, ijazah sarjana, ijazah doktor kejuruteraan dan ijazah doktor falsafah (PhD).

Jelasnya, hampir 60 peratus daripada jumlah graduan pada tahun ini merupakan graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selari dengan peranan UTeM sebagai sebuah universiti yang melahirkan graduan TVET di Malaysia.

“Ini adalah satu pencapaian membanggakan buat UTeM. Tahniah kepada semua warga kampus yang bertungkus lumus memastikan universiti terus cemerlang,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir Dr Ghazali Omar; Ketua Pegawai Operasi (COO), Masdzarif Mahat serta Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC), Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi.

Sementara itu, pada konvokesyen tersebut, dua waris akan mengambil skrol sebagai mewakili dua graduan yang telah meninggal dunia iaitu graduan Diploma Teknologi Maklumat dan graduan PhD.

Graduan PhD ini merupakan pelajar antarabangsa UTeM dari Indonesia dan warisnya akan datang untuk menerima skrol berkenaan.

Bersempena dengan majlis konvokesyen itu juga, UTeM turut menganjurkan Festival Konvo Tuah 18 UTeM yang bermula esok hingga 7 November ini.

Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang festival berlangsung. Antaranya aktiviti Jelajah UTeM Menjerit, perlawanan bola sepak antara Pilihan UTeM dan Veteran Malaysia serta karnival kerjaya.

Akhir sekali, orang ramai dijemput untuk memeriahkan Festival Konvo Tuah 18 UTeM ini.

Artikel berkaitan 

2 Jurutera Pengajar wanita dari UTeM kini pengendali dron profesional 

Bangga dengan tradisi Sarawak, Dr Kaleena hadiri konvokesyen berpakaian tradisional Orang Ulu

Kerana populariti sukan frisbee, kumpulan pelajar UKM sepakat anjur UFUC 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok