
MSUC Go Green usaha lestarikan alam semula jadi
Sebagai tanda sokongan terhadap Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025, MSU College Seremban berganding bahu menganjurkan program MSUC Go Green.
Program yang diadakan di PD Forest Sungai Menyala, Port Dickson, Negeri Sembilan itu disempurnakan Presiden Management and Science University (MSU) dan MSU College, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin.
Berikutan kerjasama erat yang terjalin antara MSUC dengan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan itu, program MSUC Go Green akan dilaksanakan setiap tahun.

Inisiatif itu dilaksanakan bagi memupuk kesedaran belia dan masyarakat mengenai pentingnya memelihara kelestarian alam semula jadi dalam menambah baik ekosistem serta biodiversiti negara.
Fasa pertama program berkenaan menyaksikan 250 anak pokok dari spesies Merbau dan Nadir ditanam di sekitar kawasan Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson, oleh peserta yang mengambil bahagian.
Bagi meningkatkan semangat kecintaan kepada alam semula jadi pula, peserta turut diberi peluang melakukan aktiviti mendaki dan menyusuri hutan di sekitar kawasan hutan berkenaan.
Selain itu, MSU College Seremban turut tidak ketinggalan beramah mesra bersama 20 kanak-kanak dari Tadika Kampung Orang Asli Pasir Panjang dan Kampung Orang Asli Palebar dengan melakukan aktiviti mewarna.

MSUC Go Green mencerminkan komitmen berterusan pihak kolej dalam menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) yang memfokuskan kepada SDG 3 Good Health and Well-being, SDG 4 Quality Education, SDG 15 Life on Land dan SDG 17 Partnerships for The Goals.
Penglibatan dalam aktiviti jalinan komuniti dan kesukarelawanan telah menjadi salah satu komponen penting dalam aspek pembangunan pelajar di MSU College.
Aktiviti itu ternyata memberi impak terhadap pembentukan jati diri, nilai kemanusiaan dan seterusnya melahirkan komuniti berempati.