WhatsApp_Image_2021-12-21_at_11.43.01_AM
WhatsApp_Image_2021-12-21_at_11.43.01_AM

Dulu Komander Perbarisan, kini Pegawai Kanan Polis. Tahniah Nuraida Shafiza, kami bangga dengan anda!

webadmin
08 Jan 2022 09:58pm
A
A
A

Pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) 2019, Universiti Sains Malaysia (USM), Nuraida Shafiza Abdul Jalil terkejut apabila dipilih sebagai Komander Perbarisan (Parade Commander) pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Perlantikan Pegawai Kor SUKSIS Universiti Awam (UA) Ke-15 yang lalu.

Kemudian, Nuraida Shafiza sekali lagi terkejut apabila berjaya menamatkan latihan sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu kerjaya yang menjadi cita-citanya sejak di universiti lagi.

Walaupun bertubuh kecil, Nuraida Shafiza yang kini berpangkat inspektor dan bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, Kelantan nekad dan berjanji akan memberikan khidmat yang terbaik kepada negara.

Berkongsi cerita mengenai perjalanannya dalam bidang ini, Nuraida Shafiza memberitahu, sebaik tamat pengajian di USM, dia diterima sebagai pelatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan berjaya menamatkan latihan sebelum ditempatkan di IPD Tumpat.

"Alhamdulillah, Kor SUKSIS banyak mengajar diri menjadi lebih berani dan tabah sekaligus membolehkan saya menamatkan latihan dengan jayanya," katanya selepas Majlis Konvokesyen USM ke-58 baru-baru ini.

Nuraida Shafiza merupakan salah seorang daripada 206 graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan pada sidang terakhir majlis konvokesyen itu.

Sementara itu, berkongsi pengalaman ketika menjadi Komander Perbarisan pertama USM, Nuraida Shafiza berkata, walaupun agak sedikit gementar kerana majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, namun dia memberanikan diri kerana minat yang mendalam terhadap pasukan beruniform tersebut.

"Minat terhadap PDRM ini lahir dari diri sendiri dan tiada paksaan daripada mana-mana individu. Keluarga adalah antara yang menyokong minat saya dalam PDRM walaupun tiada kalangan kami yang menyertai mana-mana unit beruniform.

"Alhamdulillah, kini saya sudah menjadi sebahagian dari pegawai PDRM dan sentiasa bersiap sedia untuk memberikan yang terbaik dalam usaha membanteras jenayah sekaligus berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya seperti dipetik menerusi portal USM.

Sumber: Portal USM

Artikel berkaitan 

88 Pegawai Kadet PALAPES UTM dan UTHM ditauliah sebagai Pegawai Muda

“Alhamdulillah, I got into Stanford” – Pelajar terharu diterima masuk ke universiti idaman

Bekerja sambil belajar, mahasiswa UTM kini pemilik perniagaan cendawan berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok