dura-adibah-uthm-bahasa-korea
dura-adibah-uthm-bahasa-korea

Dura Adibah, pelajar UTHM raih pengiktirafan di Korea atas perkongsian keunikan budaya Malaysia

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
13 Oct 2022 09:10am

Perkongsian pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dura Adibah Roslan, 21, mengenai keunikan budaya di Malaysia berjaya mendapat pengiktirafan di Korea.

Dura Adibah melakar kejayaan yang membanggakan itu apabila meraih Ministry of Foreign Award pada pertandingan The 26th K-Speech World Contest - On Air yang telah berlangsung di Masan Culture Centre, Masan, Korea Selatan pada 1 Oktober lalu.

Pertandingan anjuran Changwon Special City bersama Korean Speech Organisation itu telah disertai 16 buah negara dari seluruh dunia antaranya Australia, Perancis, Iran, Japan, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Pertandingan tersebut telah disertai lebih 16 buah negara seluruh dunia.

Dalam pertandingan tersebut, Dura Adibah telah berkongsi mengenai budaya Malaysia yang menjadi kebanggaan kepada dirinya.

Menurutnya, masyarakat Malaysia sering merujuk seseorang itu dengan kata ganti diri seperti abang, kakak, pak cik dan mak cik meskipun mereka bukanlah ahli keluarga yang sebenar.

“Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama serta budaya ini telah menjadikan rakyat di negara ini sebagai satu keluarga yang harmoni.

“Keunikan inilah yang telah dikongsikan bersama kerana budaya ini tidak dapat dijumpai di mana-mana negara serata dunia,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Anak bongsu daripada lima adik beradik itu berkata, dia mula mempelajari bahasa Korea serta tulisan Hangul sejak 2014 kerana mempunyai minat yang mendalam terhadap lagu-lagu Korean Pop (K-Pop).

Dura Adibah ketika menerima Ministry of Foreign Award.

“Disebabkan minat yang mendalam terhadap kumpulan K-pop pada waktu itu, saya mengambil keputusan untuk mempelajari bahasa Korea dengan menggunakan aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar supaya dapat memahami lirik lagu.

“Saya juga gemar menonton rancangan televisyen Korea dan kemudian mula memberanikan diri untuk menyertai perjumpaan bersama penutur bahasa Korea lain yang ada di Malaysia,” tambahnya.

Jelasnya lagi, kejayaannya di pentas antarabangsa ini adalah hasil sokongan daripada ahli keluarga yang tidak pernah putus asa memberikan bantuan sama ada dari segi kewangan mahupun panduan.

“Alhamdulillah, ahli keluarga sentiasa menyokong sepanjang perjalanan mempelajari bahasa ini sehinggakan sanggup menaja saya ke Korea selama tiga bulan.

“Buat masa sekarang, saya bercadang untuk mengambil kursus pensijilan bagi membolehkan saya menjadi tenaga pengajar dan ini juga akan membantu dalam dunia pekerjaan setelah tamat pengajian kelak,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Genggam PhD pada usia muda, Zulfati Izazi kini pensyarah hebat di Korea

Tamat pengajian sarjana dalam bidang TESL, Najwa Latif teruja mahu bergelar Doktor

Berjaya genggam ijazah walau serba kekurangan, semangat Mahavithia buat ramai kagum!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp