Gadis ‘penoreh getah’ daftar masuk UniSZA
Gadis ‘penoreh getah’ daftar masuk UniSZA

Gadis ‘penoreh getah’ daftar masuk UniSZA

webadmin
21 Oct 2022 02:05pm
A
A
A

Gadis yang pernah tular kerana kisahnya mencari wang dengan menoreh getah untuk masuk ke universiti kini telah mendaftar masuk ke kolej kediaman Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Khamis.

Nur Amalin Syaffah Saman, 20, berkata, perasaannya agak janggal kerana terpaksa berjauhan dengan keluarganya di Rantau Panjang, Kelantan memandangkan sebelum ini mereka jarang berenggang.

Bagaimanapun, anak sulung daripada lima beradik itu nekad meneruskan perjuangan demi mengubah nasib keluarga untuk keluar dari kemiskinan.

“Dua semester sebelum ini saya belajar secara dalam talian di rumah dan dalam masa sama dapat menguruskan keluarga. Dua adik saya adalah orang kurang upaya (OKU) manakala dua lagi mempunyai masalah pembelajaran.

“Saya bersyukur, sekarang boleh belajar secara bersemuka. Rasa lega juga kerana tidak lagi perlu susah payah cari talian internet kerana segala kemudahan sudah tersedia di kampus,” katanya.

Pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Kewangan Islam di UniSZA itu telah mendapat tajaan biasiswa sebanyak RM30,000 daripada tabung wakaf universiti berkenaan.

Katanya, sejak kisahnya tular, banyak pihak dan individu tampil memberi bantuan termasuk memberi kata-kata semangat agar tidak mudah putus asa untuk menyambung pengajian.

“Alhamdulillah, perjalanan dari Kampung Tandak, Rantau Panjang Kelantan ke UniSZA juga dibiayai oleh Yayasan Raja Shamri kerana keluarga saya tiada kenderaan,” katanya.

Kisah kesusahan Nur Amalin Syaffah yang terpaksa berulang-alik sejauh 30 kilometer meredah kebun getah dan kelapa sawit bagi mencari wang persediaan ke universiti, mendapat perhatian UniSZA dengan menawarkannya biasiswa berjumlah lebih RM30,000.

Biasiswa bagi menampung yuran pengajian, asrama dan sara hidup sebanyak RM600 sebulan itu diuruskan tabung wakaf universiti sehingga dia menamatkan pengajian selama tiga tahun.

Sumber: Sinar Harian

Artikel berkaitan 

3.95 pun tidak dapat UPU” - Pelajar terkilan permohonan UPU tidak berjaya meskipun raih keputusan cemerlang

Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian

Susherrie kebanggaan suku Semai, jadi anak Orang Asli Perak pertama terima ijazah kelas pertama di London


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok