Untitled design (1)
Untitled design (1)

Graduan tertua genggam PhD pada usia 63 tahun

webadmin
03 Nov 2022 11:13am
A
A
A

Usia bukan penghalang dan ia hanyalah sekadar angka. Kenyataan ini berjaya dibuktikan oleh seorang pesara guru kelahiran Sarawak, Dr Mangai Anak Tugau apabila berjaya menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 63 tahun.

Berkat kesungguhan dan juga ketabahannya, Dr Mangai berjaya menghabiskan pengajian tepat pada masanya dan telah diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ke-46 di UPM Kampus Bintulu, Sarawak, baru-baru ini.

Beliau yang diraikan bersama-sama 471 graduan pelbagai peringkat pengajian juga merupakan graduan tertua untuk konvokesyen kali ini.

Bagi Dr Mangai, kejayaannya itu selain dapat dijadikan contoh kepada anak-anak muda hari ini ia juga secara tidak langsung membuktikan usia bukan faktor penghalang untuk mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi.

“PhD yang dianugerahkan ini adalah satu kebanggaan buat saya serta keluarga dan pastinya diri ini berharap dapat memberi contoh tauladan kepada anak cucu juga secara amnya kepada masyarakat umum,” katanya yang dipetik daripada portal UPM.

Tambah beliau, disiplin dan semangat yang tinggi perlu ada dalam diri setiap mahasiswa sekiranya ingin berjaya menamatkan pengajian tepat pada masanya.

Mengulas lanjut, ayah kepada tiga orang cahaya mata ini memberitahu, insan yang menjadi pendorong semangat untuk dirinya menyambung PhD ialah Profesor Madya Dr Mohamad Maulana Magiman yang juga merupakan penyelia beliau sepanjang pengajian.

Dr Mangai (berjubah merah) bergambar kenangan bersama ahli keluarga. Kredit foto: Portal UPM

Yang pasti, kejayaan yang dilakar Dr Mangai bukan sahaja menjadi kebangaan negara tetapi ia seharusnya dijadikan contoh kepada semua.

Kami dari Sinar Bestari mengucapkan tahniah di atas kejayaan beliau.

Artikel berkaitan

Tak dapat konvo seperti orang lain, Muhammad Rosli reda ujian ALLAH

Graduan OKU mahu ubah nasib keluarga, tekad jadi penterjemah bahasa Arab

4 beradik kongsi pentas konvokesyen, rakam kenangan manis bersama


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok