theshow6
theshow6

Hasilkan pakaian guna tekstil kitar semula, pelajar Taylor’s University sokong Matlamat SDG

Nor Azma  Muhamat Laila
22 Jul 2022 10:30am
A
A
A

SUBANG JAYA – Taylor’s University maju selangkah ke depan dalam menghasilkan graduan rekaan fesyen yang serba boleh apabila mengetengahkan konsep pengeluaran pakaian lestari menerusi penganjuran pertunjukan fesyen oleh pelajar program Teknologi Reka Fesyen, baru-baru ini.

Program yang dianjurkan The Design School, Taylor’s University dengan kerjasama Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), Life Line Clothing Malaysia Sdn Bhd (LLCM) bersama FASHINFIDELITY dan pereka fesyen, Hatta Dolmat itu bertujuan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG).

Bertemakan ‘Love, Earth’, acara pameran fesyen sehari bertajuk ‘The Show’ itu memperlihatkan koleksi sedia untuk dipakai kontemporari yang memperagakan hampir 60 rekaan yang dihasilkan oleh 24 orang pelajar program Teknologi Reka Fesyen merangkumi tiga semester.

Dengan memberi tumpuan kepada kelestarian, acara itu dibahagikan kepada tiga segmen iaitu koleksi Experimental Art-to-Wear (ATW) yang dihasilkan daripada bahan denim dan potongan kain kitar semula, koleksi Zero Waste Fashion menggunakan Teknik Melukis Corak Inovatif Taylor’s yang menggunakan setiap bahagian tekstil, dan koleksi Fashion Revolution (Revolusi Fesyen) untuk menyokong Matlamat SDG dengan mengguna semula tekstil daripada bahan buangan.

Pengarah Program Sarjana Muda Teknologi Reka Fesyen Taylor’s (Kepujian) (FDT), Maria Sandra Wijaya berkata, tema The Show adalah bertepatan kerana industri fesyen dikenal pasti sebagai pencemar kedua terbesar di dunia.

“Budaya fesyen pantas adalah perniagaan yang menguntungkan dan kami sedia maklum kepentingan mendidik pelajar tentang fesyen lestari serta pengetahuan mengenai teknologi kerana industri fesyen kreatif dan pereka fesyen mempunyai kuasa untuk mengubah trend semasa bagi memastikan masa depan yang lebih baik dengan menjaga alam sekitar,” katanya ketika Segmen Tunjuk dan Cerita kepada media, baru-baru ini.

Segmen Tunjuk dan Cerita kepada media diadakan bagi menunjukkan bagaimana meter lestari digunakan untuk mengira kelestarian semua jenis pakaian yang direka pada pameran fesyen itu melalui tiga kriteria iaitu bahan dan komposisi, inovasi dan pusingan serta warisan dan budaya.

Dalam pada itu, sebagai persediaan kepada The Show, pelajar diberi peluang bekerjasama dengan pemain industri seperti jurutera alam sekitar Najah Onn dan Hatta, selama 14 minggu.

Mentor industri ini menjadi penasihat kepada pelajar dalam menyediakan konsep, membangunkan, mewujudkan dan menggayakan bentuk koleksi pakaian The Show.

Dipamerkan di Mayamode, sebuah studio fesyen di Taylor’ University, pertunjukan fesyen ini juga turut bekerjasama dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KLFW, Andrew Tan yang juga Pengarah Bersama program berkenaan.

Sementara itu, Tan berkata pihaknya berbangga dengan pameran pentas fesyen hasil kerja pertama pelajar-pelajar sekali gus menunjukkan keupayaan mereka untuk menjadi kreatif dan lestari dalam menghasilkan produk masing-masing.

“Mereka semestinya mendapat faedah daripada kemudahan terbaik di Mayamode bermula daripada mesin membuat pakaian yang terkini, mesin menjahit gred industri bagi semua jenis bahan, kemudahan melukis, dan pendigital corak yang mengurangkan sisa buangan menggunakan teknologi Lectra.

“Teknologi Lectra itu membolehkan mereka mengira penggunaan fabrik dan dalam masa yang sama membantu untuk mengurangkan sisa buangan dalam industri fesyen,” ujarnya.

Hatta turut menambah bahawa beliau gembira menjadi mentor dan bekerja dengan pelajar FDT Taylor’s University.

“Mereka adalah golongan muda yang berinspirasi dan terbuka untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang fesyen lestari serta memberi tumpuan untuk menangani isu alam sekitar dan sosial dengan menyokong Matlamat SDG melalui pakaian yang direka.

“Saya gembira untuk bekerjasama dengan Taylor’s University kerana ia memberi peluang bermakna kepada saya untuk berkongsi pengalaman industri dengan pelajar rekaan fesyen yang baru meningkat naik ini, lebih-lebih lagi kerana mereka yang akan menerajui industri ini ke arah lebih baik,” kongsi Hatta.

Artikel berkaitan

Taylor’s lancar Makmal Komputer DuckiePi, sumbang 158 peranti pembelajaran kepada keluarga B40 dan pusat komuniti

9 IPT tawar jurusan fesyen dan pakaian, inilah masa tepat untuk pelajar buat pilihan

Dulu berniaga dari rumah ke rumah, kini Jovian Mandagie jenama gah dalam dunia fesyen


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok