Hassan-Said-uniten
Hassan-Said-uniten

Hassan Said dilantik Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola UNITEN baharu

Adlan Farhan Azwan
14 Jul 2022 09:06am
A
A
A

Tokoh akademik yang juga bekas Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said dilantik sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) baharu berkuat kuasa 30 Mei lalu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), beliau menggantikan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin yang memegang jawatan tersebut sejak Disember 2021.

“Hassan juga merupakan Presiden dan Naib Canselor Taylor's University dari Ogos 2008 hingga Januari 2016 dan bekas Naib Canselor di Asia e-University, Malaysia sejak Februari 2019 hingga Januari 2021.

“Beliau yang pernah menyandang jawatan Pengarah Pengajian Tinggi sejak Januari 2005 hingga April 2008 merupakan lulusan Sarjana Muda dalam bidang matematik dari University of Manchester, United Kingdom (UK) dan Sarjana Sains serta Doktor Falsafah dari Brunel University, UK,” kata kenyataan itu lagi.

Hassan juga merupakan penerima Chevalier de I' Orde National du Merite Award, iaitu anugerah berprestij daripada kerajaan Perancis pada 2007.

Ketokohan beliau turut diiktiraf University of Toulouse Jean Jaures, Perancis, antara universiti awam tertua dan terkemuka di Eropah, yang menganugerahkan Doktor Kehormat (Doctor Honoris Causa).

Hassan adalah rakyat Asia Tenggara yang pertama diberikan penghargaan ini.

Hassan yang mempunyai 17 penerbitan penyelidikan turut dianugerahkan Doktor Kehormat dari pelbagai universiti di Malaysia dan UK, antaranya The University of Birmingham (UOB), University of West England, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ketika ini, Hassan memegang amanah sebagai Ahli Jawatankuasa Pendidikan di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Ahli Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Ahli Lembaga Pengarah Awantech Technology Berhad.

Dalam pada itu, Hasan Arifin turut menyatakan keyakinannya terhadap Hassan yang berupaya membantu membawa UNITEN ke arah yang lebih cemerlang.

“Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah UNITEN dan TNB, amat berbesar hati atas pelantikan ini kerana Hassan merupakan seorang tokoh akademik yang dihormati.

“Pastinya beliau dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan UNITEN selari dengan aspirasi menjadikan UNITEN sebagai universiti berfokuskan tenaga yang berdaya saing di peringkat global menjelang 2025.

“UNITEN, dalam menuju aspirasi BOLD2025 akan mendapat manfaat daripada pelantikan Hassan yang berpengalaman luas antaranya sebagai ahli lembaga pengarah di universiti awam dan swasta, serta ahli majlis di pelbagai badan korporat di Malaysia dan luar negara,” ujar beliau.

Artikel berkaitan

Martabat bahasa Melayu melalui penulisan kreatif, UKM anjur sayembara cerpen

Graduan UiTM terima Anugerah Khas, keluarga dan pensyarah pembakar semangat

Ibu bapa sebak bila dua anak naik pentas bersama-sama terima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok