menupsi-baru
menupsi-baru

Inisiatif Menu Keluarga Malaysia RM3.50 bakal beri manfaat 14,000 golongan B40 mahasiswa UPSI

webadminwebadmin
05 Aug 2022 02:33pm

Tanjung Malim – Hasil kerjasama dengan 23 pengusaha kafeteria kampus, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini telah melancarkan Menu Keluarga Malaysia pada harga RM3.50.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, inisiatif Menu Keluarga Malaysia merupakan sokongan kepada pelaksanaan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia bagi  menyelaras, melaksana dasar dan memantau kawalan harga barang serta perkhidmatan juga membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik.

“Inisiatif ini disasarkan kepada lebih 14,000 pelajar golongan B40 di UPSI di mana  mereka mempunyai pilihan makanan berkualiti pada harga yang rendah ketika seluruh negara mengalami kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini,

“Sebagai tanda penghargaan kepada para pengusaha kafeteria, UPSI telah meluluskan moratorium sewaan ruang premis selama enam bulan kepada mereka di sekitar kampus,” jelasnya semasa ucapan perasmian di Kampus Sultan Azlan Shah, di sini, baru-baru ini.

Bakal menerima kemasukan semula seramai 19,352 pelajar pada Oktober ini, ujar Md Amin lagi, UPSI akan memastikan kos sara hidup siswa dari pelbagai aspek termasuklah makan minum dan pengangkutan pergi dan balik dari kediaman ke kampus terjamin.

“Pihak pengurusan akan sentiasa memastikan kesejahteraan para siswa, supaya anak-anak ini dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan fokus kepada pembelajaran tanpa memikirkan hal perbelanjaan makan dan minum seharian.

“Menu Keluarga Malaysia UPSI akan dikekalkan demi kelangsungan kehidupan pelajar kita di UPSI,” jelasnya lanjut.

Antara Menu Keluarga Malaysia yang disediakan UPSI kepada semua mahasiswanya yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin mengucapkan terima kasih kepada pengusaha cafeteria di atas kerjasama yang diberikan dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan.

“Antara menu yang disajikan adalah hidangan harian seperti nasi putih beserta lauk lengkap dengan minuman, nasi goreng, nasi lemak, mi goreng, roti canai, mihun sup dan banyak lagi bermula sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, penerima Sijil Pengusaha kafeteria JNJ Gemilang Resources, Junaida Jamaludin, 54, memberitahu, pihaknya memilih lempeng kelapa  kuah sardin beserta minuman the o panas sebagai salah satu sajian menu yang terdapat di kafeterianya.

Md Amin (empat dari kanan) menyerahkan Sijil Pengiktirafan Kafeteria Sihat Universiti Awam Yang Pertama di Malaysia kepada pengusaha kafetaria JNJ Gemilang Resources, Junaida Jamaludin (empat dari kiri) selepas Majlis Pelancaran Menu Keluarga Malaysia di Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, baru-baru ini.

“Sebelum Menu Keluarga Malaysia diperkenalkan, sebagai pengusaha makanan, kami telah menyediakan hidangan bajet untuk para mahasiswa yang berkunjung ke kafeteria bagi membantu kebajikan para pelajar yang kurang kemampuan dan mampu mengenyangkan mereka.

“Selain set lempeng, kami juga menyediakan menu ‘nasi goreng mak-mak’, mihun sup dan nasi bujang sebagai pilihan,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Junaida turut menerima Sijil Pengiktirafan Kafeteria Sihat Universiti Awam Yang Pertama di Malaysia anjuran Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan (KKM).

Kriteria utama yang dititikberatkan untuk pengiktirafan tersebut adalah pengendalian proses makanan serta penilain kebersihan premis mencecah 86 peratus.

Pengusaha kafetaria JNJ Gemilang Resources, Junaida Jamaludin menunjukkan Sijil Pengiktirafan Kafeteria Sihat Universiti Awam yang diterimanya.

Artikel berkaitan

UMK perkenal Menu Food Basket Siswa Keluarga Malaysia berharga RM3.50

UKM perkenal Menu Siswa Keluarga Malaysia, sokong inisiatif dilaksanakan KPT

Ini senarai 4 menu murah dan berkhasiat buat pelajar IPT

------------------------------------------

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp