q-cat3
q-cat3

Inovasi Q-CaT Kit tingkatkan kesedaran masyarakat lakukan CPR

Adlan Farhan Azwan
22 Aug 2022 11:03am
A
A
A

Sekumpulan penyelidik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mencipta produk inovasi Q-CaT kit yang dapat membantu masyarakat melakukan latihan bantuan kecemasan pemulihan kardiopulmonari pernafasan (CPR) dengan berkesan.

Q-CaT Kit merupakan sebuah patung orang dewasa (bahagian dada) yang dilengkapi dengan skrin, maklum balas audio-visual, aplikasi mobil dan juga laman web.

Kumpulan penyelidik yang terlibat dengan penghasilan produk inovasi ini terdiri daripada Profesor Madya Dr Mohd Azmani Sahar selaku Ketua Penyelidik, Profesor Madya Dr Norsham Juliana Nordin, Profesor Madya Dr Sundresan Perumal, Profesor Dr Hayati Abd Rahman dan Profesor Dr Kamaruzzaman Seman.

Produk ini memberikan pengalaman yang baharu kepada semua individu untuk mengetahui bagaimana melakukan CPR dengan cara yang lebih praktikal dan secara tidak langsung membantu mengurangkan kadar kematian akibat kegagalan mangsa diberikan rawatan CPR dengan segera.

Antara kaedah latihan CPR dengan menggunakan Q-Cat Kit.

Menurut Dr Mohd Azmani, idea penciptaan inovasi ini tercetus daripada Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme- KTP) yang melibatkan latihan kecemasan dan CPR dalam kalangan pengusaha Taska Negeri Sembilan.

“Program ini memberi penekanan terhadap pentingnya alat bantu mengajar CPR khususnya untuk masyarakat.

“Alat bantuan mengajar CPR untuk masyarakat awam pada hari ini terhad dan kurang efektif, manakala produk sedia ada pula mahal dan lebih tertumpu untuk individu terlatih dalam bidang kesihatan.

“Justeru, pada tahun 2019, melalui Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), produk ini berjaya dihasilkan dengan inovasi ‘sensor’ untuk mengenal pasti kedudukan tangan yang tepat serta aplikasi yang dapat membantu bacaan CPR dilakukan dengan lengkap dan mudah”, katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambahnya, cabaran paling besar dalam proses pembangunan produk adalah pengkomersilan kerana kebanyakan produk-produk yang dihasilkan oleh para penyelidik universiti berdepan dengan kekangan sumber kewangan, infrastruktur dan lain-lain.

“Kami percaya dengan sokongan penuh daripada pengurusan USIM, produk ini dapat dikomersilkan dengan jayanya, dan seterusnya memberikan impak kepada masyarakat dan ummah.

“Diharapkan juga produk ini mampu meningkatkan keyakinan seseorang dalam melakukan CPR dengan baik serta mengurangkan stigma takut melakukan CPR,” ujar beliau.

Artikel berkaitan

UPM hasilkan inovasi alat navigasi bantu pesakit demensia

Herba tempatan Sabah jadi ramuan penyelidik hasilkan produk organik

Penyelidik UM hasilkan ToothPoly, inovasi didik murid jaga kesihatan gigi


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok