UiTM-TikTok-1-768x512
UiTM-TikTok-1-768x512

Kerjasama UiTM dan TikTok perkasa pendidikan menerusi media sosial

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
15 Apr 2022 03:26pm

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan TikTok Pte Ltd (TikTok) menjalin kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bakal meneroka platform media sosial yang tersedia untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih menarik dan terkini.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor dan Pengurus Operasi Strategi TikTok Malaysia, Darren Quek Yi Fong di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, di sini, baru-baru ini.

Baca juga

Guna TikTok untuk pembelajaran, bukan tujuan peribadi – NUTP

Aplikasi TikTok bukan sekadar hiburan, gunakan sebagai alat persediaan pelajar hadapi dunia sebenar

Seiring dengan penubuhan UiTM dalam memperkasa agenda pendidikan kebangsaan, MoU ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan kerjasama strategik dan memperkasa penggunaan aplikasi TikTok sebagai satu platform perkongsian ilmu.

Menurut Roziah, kolaborasi yang dijalin ini bertepatan dengan aspirasi UiTM untuk meningkatkan kerjasama dengan rakan industri gergasi dalam mempelopori arena pendidikan moden melalui platform media sosial.

“Dengan reputasi Tiktok yang mempunyai lebih satu bilion pengguna setakat Mac 2022, pastinya kerjasama ini akan membuka lebih banyak ruang untuk memperhebatkan PdP khususnya secara jarak jauh dan terbuka.

“Ini adalah selari dengan konsep Education 5.0 @ UiTM untuk menyediakan pendidikan yang bersifat lebih fleksibel selaras dengan peralihan dan trend teknologi yang terkini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UiTM.

Terdahulu, UiTM Cawangan Sabah telah memperkenalkan TikTok Guru Bah! pada tahun lalu dan kerjasama tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Tambah Roziah lagi, melalui MOU ini juga, beberapa projek berlandaskan kerjasama UiTM dan TikTok akan diperkenalkan dalam skop pendidikan jarak jauh serta terbuka di UiTM selain daripada pendidikan formal semasa sesi kuliah.

“Kami berharap usaha ini dapat merubah perspektif umum berkenaan penggunaan media sosial khususnya TikTok dalam gedung pendidikan negara.

“Kami juga percaya kerjasama dengan TikTok ini dapat melahirkan pelajar yang lebih kompetitif, kreatif dan proaktif seterusnya melahirkan sumber manusia yang mampan untuk negara,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp