Kerjasama UMP dan AspenTech, bina ekosistem perkongsian ilmu
PEKAN – Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Aspen Technology (AspenTech) menjalin kerjasama untuk menyediakan graduan yang memenuhi keperluan industri dalam bidang teknologi kejuruteraan kimia dan proses.
Sehubungan itu, satu majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UMP dan pihak industri diadakan di Perpustakaan UMP, Pekan, Pahang, baru-baru ini.
Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, inisiatif ini membolehkan pihak UMP dan AspenTech untuk bekerjasama rapat bagi mencapai matlamat bersama.
Baca juga
KPT umum pelantikan Naib Canselor baharu UMP, UMK dan UniSZA
UMP dan HsMA Jerman bakal tawar program dual ijazah kejuruteraan perniagaan
"Walaupun interaksi secara bersemuka ketika ini adalah terhad berikutan keadaan pandemik yang berterusan, usaha untuk menjalinkan kerjasama antarabangsa tidak seharusnya terhalang.
“Pandemik ini telah menyediakan mod kerjasama baharu dalam meneroka program pembangunan kompetensi pelajar dan kakitangan, aktiviti penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran ke arah pembelajaran pendidikan profesional dan teknikal sepanjang hayat.
“Saya yakin dengan usaha dan komitmen yang berterusan, kita mampu mencapai lebih banyak lagi dan dapat menjalin hubungan yang lebih kukuh lagi antara UMP dan AspenTech,” kata beliau ketika majlis pertukaran MoU.
Turut hadir, Naib Presiden Asia Pasifik & Jepun, AspenTech, Lawrence Ng.
Ujar Yuserrie lagi, menerusi kerjasama ini, peluang pembelajaran bakal tersedia dengan pelbagai inisiatif seperti latihan kemahiran, pembangunan pelajar, program eksekutif, status hab latihan pendidikan, pameran kerjaya serta kesedaran berterusan merentasi institusi pengajian di Malaysia.
"Ekosistem ini berupaya menangani masalah kekurangan kemahiran teknikal dan mendorong pembelajaran digital menerusi pemacuan penggunaan perisian pengoptimuman aset terkemuka AspenTech.
"Kerjasama ini bakal memberi tumpuan kepada beberapa objektif termasuklah penggalakan pembangunan kompetensi pelajar dan staf akademik UMP melalui siri latihan dan program pensijilan dan penggabungan penyelesaian perisian AspenTech ke dalam kurikulum Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses bagi program prasiswazah dan pascasiswazah.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
"Selain itu, ia juga membabitkan penubuhan Pusat Kecemerlangan AspenTech bagi latihan berkaitan pengoptimuman aset di fasiliti UMP yang turut memberi fokus latihan kepada pihak berkepentingan termasuk pelanggan AspenTech," jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Projek Pusat Kompetensi untuk Sistem Integrasi Pintar dalam Industri Proses (CC-SISPI), Profesor Madya Ir Dr Mohamad Rizza Othman berkata, kerjasama ini menandakan satu lagi contoh kejayaan bagi kerjasama universiti-industri yang bakal memanfaatkan UMP dan AspenTech keseluruhannya.
Sementara itu, Lawrence berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan UMP, sebuah universiti teknikal yang terkemuka dalam mengukuhkan kumpulan bakat kejuruteraan dalam kalangan masyarakat.
"Sebagai persediaan proses digitalisasi yang semakin ke hadapan dan industri berintensif modal, cabaran seperti kekurangan tenaga kemahiran perlu ditangani menerusi kerjasama sebegini," katanya.