20221019113154blobid1
20221019113154blobid1

Kesibukan mengejar PhD tidak halang Mogesh aktif sebagai sukarelawan alam sekitar

Adlan Farhan Azwan
21 Oct 2022 04:37pm
A
A
A

Meskipun sibuk dengan jadual pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafah (PhD), ia bukanlah penghalang buat pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Mogesh Sababathy, 24, untuk melibatkan diri secara aktif sebagai sukarelawan alam sekitar.

Mogesh yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Biologi Molekul dan Kejuruteraan Genetik di Fakulti Perubatan Veterinar diberi penghormatan untuk mewakili negara dalam persidangan Youth4Climate, Climate Week dan 77th Session UN General Assembly (UNGA) di New York, Amerika Syarikat.

Sepanjang persidangan berlangsung selama tujuh hari bermula 19 September lalu, ia membolehkan Mogesh berjumpa dan berbincang bersama beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, persidangan kali ini bertujuan memberi ruang kepada aktivis-aktivis belia dari seluruh dunia bertukar pendapat mengenai isu dan inisiatif dalam menangani perubahan iklim.

Persidangan itu dihadiri oleh 150 belia dari 90 negara seluruh dunia.

“Antara topik perbincangan meja bulat bersama United Nations Development Programme (UNDP) adalah mengenai belia, keamanan dan sekuriti global serta iklim,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mogesh juga berkesempatan mengikuti program-program lain yang berlangsung sempena Climate Week NYC 2022 seperti United Nations Climate Action: Race to Zero and Resilience Forum dan World Biodiversity Summit.

Jelasnya, persidangan ini membuka peluang kepada seramai 150 orang belia dari 90 negara seluruh dunia untuk bekerjasama dan membina sebuah komuniti belia global yang prihatin tentang isu alam sekitar dan perubahan iklim.

“Harapan saya supaya belia Malaysia akan menjadi lebih prihatin tentang isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu mengadaptasi perubahan iklim.

“Antara caranya ialah dengan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, penjimatan air dan elektrik, mengelakkan pembaziran makanan dan menyertai organisasi, kempen dan program yang berkaitan,” tambahnya.

Sebelum itu, Mogesh pernah diumumkan sebagai finalis untuk Anugerah Belia Komanwel 2021 dan menjadi penerima Anugerah Diana atas penglibatan serta sumbangannya dalam kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Artikel berkaitan

30 belia sertai program sukarelawan di Taman Negara Royal Belum

Sukarelawan UTeM cakna pelihara keindahan Pulau Bidong

MSUC Go Green usaha lestarikan alam semula jadi


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok