Prof Arif Satria
Prof Arif Satria

Kolej Uniti jalin kerjasama dengan IPB University dalam bidang halal global

Norliza WasilanNorliza Wasilan
24 Aug 2022 10:20am

Kolej Uniti, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Institusi Pertanian Bogor (IPB) University, Indonesia, menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan sumber manusia dan latihan berkaitan halal.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti, Amir Hamzah Md Isa, menerusi kerjasama itu mereka akan berkongsi kepakaran serta pengalaman, sekali gus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem dan agenda halal global.

“Kolej Uniti merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia menawarkan program pengajian halal secara formal menerusi Diploma Pengurusan Industri Halal, pada 2013.

“Kami akan berkongsi pengalaman dalam pensijilan halal Malaysia dan pembangunan talen industri halal.

“IPB University yang juga antara universiti terbaik di Indonesia pula bakal menawarkan kepakaran dalam bidang penyelidikan berkaitan halal,” katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kolej Uniti dan Institusi Pertanian Bogor (IPB) University, di kampus IPB University, Bogor, Jawa Barat, semalam.

Turut hadir, Rektor IPB University, Profesor Arif Satria; Pengarah Pusat Sains Halal IPB University, Profesor Dr Ir Khaswar Syamsu; Pengarah Pusat Kecemerlangan Halal Kolej Uniti (UHAC), Muhammad Elyas Harun; Setiausaha Pertama (Pendidikan) Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Mohd Mubarak Shamsuddin dan Atase Pendidikan, Zulfadhli Hamzah.

Memorandum persefahaman itu akan memberi peluang kepada IPT berkenaan melaksanakan program perkongsian kepakaran membabitkan tenaga pengajar serta pertukaran pelajar.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah menjelaskan, kerjasama itu adalah permulaan kepada pengembangan agenda pengantarabangsaan Kolej Uniti untuk melangkah lebih jauh selepas pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa kolej berkenaan telah melahirkan ramai graduan dalam bidang halal yang memenuhi pasaran pekerjaan tempatan dan antarabangsa.

"Sejak 2013, Kolej Uniti telah melahirkan ribuan graduan dalam bidang halal. UHAC juga sehingga hari ini sudah melatih eksekutif halal kompeten yang memenuhi pasaran kerja industri tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Arif turut memberitahu, pihaknya percaya kerjasama kedua-dua IPT itu akan memberi manfaat tidak terhad kepada Malaysia dan Indonesia, tetapi juga antarabangsa.

Malah, tuturnya, pengalaman dan kepakaran Kolej Uniti sejak sedekad lalu yang menawarkan program pengajian halal akan menjadikan kerjasama ini lebih berfokus dan memberi impak kepada industri halal global.

“IPB University pula melalui Pusat Sains Halal mempunyai kepakaran dalam penyelidikan dan pensijilan halal Indonesia.

“Malah, penubuhan pusat penyelidikan halal baru yang dijangka siap sepenuhnya pada 2023 di kampus ini menjadi bukti komitmen kami untuk terus menerajui bidang halal di republik ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Mubarak pula berkata, inisiatif Kolej Uniti menjalin kerjasama dengan IPT terkemuka di Indonesia itu wajar dicontohi.

“Jalinan kerjasama dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua IPT ini bukan saja membantu meningkatkan keupayaan masing-masing tetapi pada masa sama membantu mengembangkan potensi halal dalam kalangan industri tempatan dan serantau.

“Pastinya, saiz dan status antara IPT bukan halangan untuk berkolaborasi. Pihak Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta mengalu-alukan usaha sebegini dan berharap sinergi Kolej Uniti dan IPB University akan berkekalan,” ujarnya.

Artikel berkaitan

KUPTM dan GMI meterai nota kolaboratif

UTHM lahir usahawan IKS, tembusi pasaran global

UTHM rai alumni antarabangsa dan bakal pelajar di Batam


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp