HomeIPTBuletin IPTKompleks Dewan Kuliah baharu beri manfaat buat 14,000 pelajar UTeM

Artikel Berkaitan

Kompleks Dewan Kuliah baharu beri manfaat buat 14,000 pelajar UTeM

MELAKA – Kompleks Dewan Kuliah baharu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah siap dibina dan dirasmikan baru-baru ini memberi manfaat buat hampir 14,000 pelajar UTeM.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, terbinanya kompleks dewan kuliah itu seiring peningkatan enrolmen pelajar universiti berkenaan pada setiap sesi kemasukan.

“Perancangan pembangunan dan fasiliti UTeM yang strategik dan holistik ini adalah bagi memastikan kemudahan disediakan dapat memberi keselesaan serta melengkapi, sekali gus menyokong proses pengajaran dan pembelajaran serba kondusif.

“Projek ini telah mendapat kelulusan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dengan kelulusan kos siling berjumlah RM15 juta dan telah siap dibina oleh syarikat pembina iaitu Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata, Kompleks Dewan Kuliah ini berkeluasan 4,452 meter persegi. Katanya, ia dilengkapi dengan dua unit dewan kuliah jenis bertingkat dan dua unit dewan kuliah jenis rata yang mana setiap satunya berkapasiti 300 orang di samping empat unit dewan kuliah jenis rata berkapasiti 150 orang dan dua unit bilik bacaan serta insfrastruktur sokongan.

“Turut dilengkapi dengan ruang pejabat pentadbiran yang menempatkan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA) yang mampu diisi seramai 19 orang staf yang telah pun memulakan operasi pentadbirannya di Kompleks Dewan Kuliah ini pada hujung Januari lalu,” katanya lagi.

Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Kompleks Dewan Kuliah baharu UTeM ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka, Datuk Ir Ismail Abd Rahman serta Pengerusi Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad, Shamsuddin Yusof.

Artikel Terkini