aishah4
aishah4

Menang Anugerah Siswa Johor Terbaik Keusahawanan, pelajar UTM kongsi rahsia kejayaan

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Apr 2022 09:02am
A
A
A

Mahasiswa jurusan Pengurusan Teknologi dari Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Siti Nur Aishah Md Yasin, 23, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siswa Johor Terbaik Keusahawanan dalam Majlis Anugerah Ikon Siswa Johor 2021 (AISJ), baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan pelajar yang berasal dari Pontian, Johor itu membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi, dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kini Menteri Besar Johor).

Siti Nur Aishah berkata, dia sama sekali tidak menjangka akan terpilih sebagai penerima anugerah kerana rakan-rakan yang bertanding dalam kategori sama juga tidak kurang hebatnya.

“Ini adalah kali pertama saya menghantar permohonan untuk Anugerah AISJ. Oleh itu, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dan maklumat mengenai anugerah berkenaan tetapi tetap berharap semoga ada rezeki yang akan memihak kepada saya.

“Sekiranya tiada, saya sudah berkira-kira untuk mencuba lagi pada tahun depan. Alhamdulillah, sudah tertulis rezeki ini untuk saya apabila tercalon sebagai Finalis Anugerah Siswa Johor Terbaik Keusahawanan seterusnya dinobatkan sebagai pemenang utama kategori ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

AISJ adalah anugerah berprestij yang dianjuran dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor bersama Yayasan Pelajaran Negeri Johor (YPJ) dan Insititut Dato Onn untuk mengiktiraf mahasiswa yang merupakan anak kelahiran Negeri Johor.

Sebanyak lima anugerah individu dalam bidang akademik, kebudayaan, kepimpinan, keusahawanan dan kesukarelawan telah dipertandingkan membabitkan lebih 60 orang calon dan hanya seorang pemenang utama akan dinobatkan bagi setiap kategori anugerah individu tersebut.

Tambah Siti Nur Aishah lagi, dia sangat berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang sentiasa mendoa dan memberi sokongan dalam setiap aktiviti yang disertai serta pihak UTM terutamanya Penasihat Kelab Mahasiswa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) UTM, Noorhadayah Ahmad yang telah mencungkil dan mengasah bakat kepimpinan dalam dirinya.

“Saya tidak ada rahsia tertentu untuk berjaya mendapat anugerah tetapi saya akan menetapkan hala tuju, meletakkan diri di dalam platform atau persatuan yang akan membuka peluang untuk saya pergi lebih jauh.

“Saya bergiat aktif dalam pelbagai persatuan di peringkat universiti dan menganjurkan program keusahawanan yang boleh memberi impak kepada pelajar serta masyarakat setempat seperti yang dibentangkan dalam sesi temu duga untuk AISJ iaitu Webinar IAMUSAHAWAN,” kongsinya.

Bermula Mac 2020 sehingga kini, Siti Nur Aishah turut menjalankan perniagaan menjual kuih kapit dan mendapat keuntungan bersih mencecah ribuan ringgit setiap bulan malah dia dan seorang pemilik IKS juga berjaya memasarkan kuih kapit berperisa di pasar raya mini di bawah TEKUN Nasional di sekitar daerah Benut, Johor.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok