WhatsApp Image 2022-12-09 at 9.03.27 AM
WhatsApp Image 2022-12-09 at 9.03.27 AM

Muhammad Faris dan Chun An, graduan cemerlang UTHM terima Anugerah Pelajaran DiRaja

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
09 Dec 2022 09:05am

Terpaksa menahan rindu terhadap keluarga kerana tidak dapat pulang ke kampung akibat pandemik Covid-19 antara cabaran dan pengorbanan yang terpaksa ditempuhi graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Faris Abdul Hadi, 24.

Begitupun, ia cukup berbaloi dan tidak sia-sia baginya apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-22 UTHM yang telah berlangsung baru-baru ini.

Muhammad Faris yang juga penerima Anugerah Khas Alumni melahirkan rasa syukur kerana berkat kesungguhan, kesabaran dan doa daripada ibu bapanya, akhirnya melayakkan dia naik ke pentas menerima dua anugerah tersebut.

“Sejak pertama kali menjejakkan kaki ke UTHM pada Jun 2016, saya berazam untuk menjadi yang terbaik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.

“Kehidupan saya di universiti dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan nilai tambah dalam diri terutama berkaitan kepimpinan,” katanya selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-22 UTHM di Dewan Sultan Ibrahim.

Dia yang pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTHM bagi sesi 2020/2021 memberitahu, lantikan tersebut menjadi satu pengalaman yang terindah dalam hidupnya kerana menjadi pemimpin pelajar peringkat universiti merupakan impiannya sejak dahulu lagi.

Namun begitu tugas hakiki sebagai seorang pelajar tidak pernah diabaikan termasuklah tugasan yang diberikan oleh para pensyarah walaupun banyak masa saya dikorbankan untuk menjaga kebajikan para pelajar.

Sementara itu, turut menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) ialah graduan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Khoo Chun An, 24.

Tutur Chun An, kejayaannya itu merupakan hadiah istimewa buat kedua ibu bapanya yang merupakan penyokong kuat sepanjang pengajiannya.

“Ibu bapa saya pernah kecewa kerana tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi satu ketika dulu.

“Mereka mahu mengubat kekecewaan tersebut dengan melihat saya dan adik-beradik lain berjaya dalam pelajaran sekali gus dapat membina kerjaya yang baik satu hari nanti.

“Sebab itulah saya bertekad untuk mendalami ilmu sains dan matematik dengan apa jua cara bagi meraih keputusan cemerlang setiap semester,” ujarnya.

Ingin melihat orang lain turut berjaya seperti dirinya, Chun An tidak lokek berkongsi tip yang diamalkannya untuk cemerlang dalam pelajaran.

“Perhatian sepenuhnya diberikan ketika berada dalam kelas dan bertanya pensyarah sekiranya tidak memahami sesuatu topik dan pada masa sama saya suka menyediakan nota kecil untuk membantu mengingati perkara-perkara penting.

“Manakala untuk kerja kursus secara individu atau berkumpulan, saya akan beri komitmen penuh untuk mendapat markah yang baik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Chun An memberitahu, ada kalanya dia dan rakan-rakan akan mencuri masa untuk belajar bersama-sama bagi memastikan mereka menguasai topik sebelum hadir ke kuliah seterusnya.

Selain cemerlang dalam pelajaran, anak kelahiran Johor Bahru ini juga aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan peringkat universiti dan antarabangsa.

Hasilnya, dia pernah memenangi pingat emas dan perak pada pertandingan bertemakan penyelidikan dan inovasi peringkat antarabangsa dan memenangi hadiah utama di peringkat kebangsaan.

Pada masa yang sama, Chun An turut menjawat beberapa jawatan dalam kelab dan program anjuran fakulti dan universiti yang disertainya.

Kedua-dua graduan cemerlang tersebut sempat menitip pesanan kepada bakal graduan yang lain supaya tidak mensia-siakan masa yang ada dengan perkara yang tidak berfaedah.

Tambah mereka, selain menuntut ilmu, kemahiran insaniah diri juga perlu dipertingkatkan agar seiring dengan keperluan dan kehendak pasaran industri.

Tahniah Sinar Bestari ucapkan.

Artikel berkaitan

Graduan UPSI jual lebih 17,000 buku tajwid tampung kos sara hidup semasa pengajian

Hasrat bapa lihat kejayaan anak di pentas konvokesyen tidak kesampaian

15 tahun pengajian di UPM, Mun Yee capai impian genggam ijazah sarjana


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp