Untitled
Untitled

"Nasi lori menu wajib, tak pernah lepak di kafe mewah" - Penerima Anugerah Canselor Majlis Konvokesyen UMK kali ke 10 dan 11

Nor Azma  Muhamat Laila
27 Nov 2021 09:33pm
A
A
A

Sudah menjadi trend kebanyakan pelajar universiti pada hari ini untuk keluar berbelanja dan makan di restoran atau kafe hipster bersama rakan-rakan bagi melepaskan tekanan selepas penat menelaah pelajaran di kampus.

Lain pula ceritanya dengan penerima Anugerah Canselor Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kali ke-10 dan 11, Abdul Hafiz Layali yang tidak pernah merasai pengalaman melepak di kafe mewah bersama rakan-rakan kerana kekangan kewangan dihadapi sepanjang belajar di universiti.

Menu wajib bagi anak muda yang berasal dari Gombak, Selangor, itu hanyalah 'nasi lori' iaitu nasi yang dijual menggunakan lori oleh peniaga, berharga RM3 yang mengandungi nasi serta seketul ayam saja.

Bagi Abdul Hafiz yang bergantung sepenuhnya kepada penajaan Pinjaman Boleh Ubah yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), menu berkenaan sudah cukup buatnya untuk mengisi perut setiap pagi dan malam.

"Saya giat menyertai pelbagai program yang dianjurkan oleh universiti bertujuan untuk mengasah kemahiran insaniah dan kepimpinan.

"Bagi saya, penglibatan aktif dalam pelbagai kelab merupakan kunci utama untuk mengharungi pelbagai kesusahan yang dihadapi di universiti tetapi dalam masa yang sama, ia juga mampu mengurangkan kos makanan kerana kebiasaannya setiap program yang dibuat, setiap peserta atau urusetia akan diberikan makanan seperti roti, air mineral dan mi goreng.

"Bagi orang lain yang datang daripada keluarga senang, pemberian seperti ini tidak memberikan apa-apa impak tetapi bagi saya, ia dapat membantu menjimatkan semaksimum mungkin perbelanjaan harian," katanya yang tidak pernah sekali meminta duit daripada ibu bapanya sepanjang belajar di UMK.

Graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam) dengan Kepujian itu tidak mahu membebankan kedua ibu bapanya kerana mereka sudah tidak mampu untuk keluar bekerja bagi mencari pendapatan sendiri.

Ibunya menderita sakit kanser payudara manakala bapanya pula lumpuh di bahagian kaki. Pendapatan keluarga bergantung sepenuhnya kepada adik perempuannya memandangkan dia terpaksa meneruskan pengajian di UMK.

Keluarga Abdul Hafiz turut bergantung harap kepada bantuan pusat zakat setiap bulan yang merangkumi makanan asas seperti beras, kicap, gula dan garam untuk meneruskan kehidupan kerana pendapatan adik perempuannya hanya RM1,500 sebulan tidak cukup untuk menyara keluarga sepenuhnya.

"Sudah tentunya saya merasa bertanggungjawab untuk membantu meringkan beban keluarga tetapi dalam masa yang sama, saya juga perlu membulatkan tekad meneruskan pengajian di UMK supaya dapat mengubah nasib kami sekeluarga di masa depan.

"Oleh itu, untuk tidak menyusahkan keluarga, saya akan membuat beberapa kerja sambilan dan menyewakan motosikal saya kepada pelajar yang memerlukan dengan kadar RM2.50 sejam sekali gus menampung kos minyak untuk berulang alik dari rumah sewa ke kampus," ujarnya.

Ternyata pengorbanan Abdul Hafiz itu tidak sia-sia kerana berjaya meraih pelbagai anugerah sepanjang pengajiannya termasuklah menamatkan pengajian dengan keputusan CGPA 3.84 dan menerima Anugerah Kepujian Dekan selama enam semester berturut-turut.

Antara pencapaian lain yang pernah diraih Abdul Hafiz ialah dipilih sebagai Penerima Anugerah Tokoh Siswa Peringkat UMK (Pemimpin Program Wacana Intelek) 2019, Naib Johan Pertandingan Debat Terbuka Ramadan Kali Ke-8 dan Juara Berkumpulan Kategori Catur (Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan) Karnival Sukan Mahasiswa, KRISMA tiga tahun berturut-turut (2016,2017 dan 2018).

Graduan yang juga penerima Anugerah Kecemerlangan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan itu juga aktif dalam bidang debat dan merupakan Yang Dipertua Kelab Debat dan Pidato Universiti Malaysia Kelantan Sesi 2017/2018, Pengarah Program Pertandingan Pidato Piala Timbalan Naib Canselor 2018 dan Pengarah Program Debat Keusahawanan Peringkat Kebangsaan 2019.

Kini, Abdul Hafiz bertugas sebagai Eksekutif Perkhidmatan Pelanggan di sebuah syarikat swasta dan berjaya mendapat tajaan menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam jurusan Kewangan Islam di International Center for Education in Islamic Finance (INCEIF).

Berkongsi mengenai kejayaan dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor, Abdul Hafiz berkata, dia tidak pernah menjadikan kesusahan keluarga sebagai alasan untuk berjaya sebaliknya sentiasa berusaha untuk cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

"Kekangan kewangan memang cabaran besar pada hari ini tetapi mencari kawan yang mampu memahami kesusahan kita juga satu lagi cabaran yang saya hadapi sepanjang meneruskan pengajian di UMK.

"Kebanyakan pelajar akan menghabiskan masa lapang dengan membeli-belah, berjalan-jalan dan menghabiskan duit ke arah perkara yang tidak berfaedah.

"Budaya berlumba-lumba dalam mengikuti trend terkini seperti menukar telefon bimbit, menonton wayang dan makan-makan di restoran mahal adalah satu bentuk pembaziran kerana kewangan saya betul-betul terhad.

"Jadi, pada pandangan saya, perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam dunia universiti adalah mencari kawan yang betul dan sama-sama memiliki impian yang sama untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya di masa depan," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok