ASAIHL-SINARBESTARI-2022
ASAIHL-SINARBESTARI-2022

Pendidikan fleksibel mampu lonjak imej pengajian tinggi negara

nadzarul.amir
24 Nov 2022 12:47pm
A
A
A

Penawaran pendidikan fleksibel terutama menerusi program micro-credentials dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) mampu meningkatkan imej pengajian tinggi negara ini ke persada global.

Program micro-credentials dan APEL dilihat menjadi kaedah pengajian masa depan sekali gus dapat memperkasa imej pengajian tinggi negara.

Pengerusi Association of Southeast Asian Institutes of Higher Learning (ASAIHL) Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, semua 23 institusi pengajian tinggi (IPT) yang bernaung di bawah ASAIHL Malaysia akan menggembeleng tenaga bagi menaikkan nama Malaysia dalam dunia pengajian tinggi antarabangsa.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memberitahu, ASAIHL Malaysia akan meneroka cara menggalakkan ahlinya menawarkan pendidikan fleksibel terutama menerusi program micro-credentials dan (APEL).

"Kita akan bekerja keras sebagai satu pasukan dalam ASAIHL Malaysia dengan menjalankan pelbagai aktiviti membabitkan kerjasama dalam kalangan ahli supaya inisiatif dijalankan lebih didengari di peringkat nasional mahupun global," katanya selepas Mesyuarat ASAIHL Malaysia, di Putrajaya baru-baru ini.

Hadir sama, Pengasas ASAIHL, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim; Presiden Pengasas Asia e University, Profesor Datuk Dr Ansary Ahmed; Naib Canselor AeU, Profesor Tan Sri Dr Nik Mustapha Raja Abdullah; Naib Canselor INTI International University, Dr Joseph Lee Yu Kuang dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Mohammad Kassim.

Sementara itu, Syed Jalaludin dalam ucapannya berkata, ASAIHL Malaysia perlu dijadikan platform dalam kalangan ahlinya sebagai usaha menjadikan negara ini hub pendidikan tinggi serantau.

"Persatuan dalam bidang pengajian tinggi bukanlah sesuatu yang baharu. Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), mereka mempunyai Ivy League yang mengumpulkan lapan IPT hebat dalam pelbagai bidang," katanya.

Penubuhan ASAIHL membolehkan institusi ahlinya membentuk identiti serantau secara kolektif, mencapai kesaksamaan antarabangsa dalam pengajaran, menggalakkan penyelidikan dan perkhidmatan awam serta membolehkan institusi ahli menyumbang kepada kekuatan negara.

Ditubuhkan pada Januari 1955, ASAIHL menjadi satu daripada organisasi pengajian tertua di Asia Tenggara.

Ia menyediakan peluang pembangunan akademik, bantuan kepada institusi ahli dalam pengambilan, penempatan fakulti dan kakitangan, pertukaran profesor dan pelajar, pembangunan projek kerjasama khusus, perkhidmatan perundingan, penyatuan antara badan serantau dan antarabangsa, jaminan untuk maklumat pembangunan serta pengiktirafan sesama ahli.

Artikel berkaitan

Malaysia kongsi inisiatif pengajian tinggi pasca pandemik di persidangan antarabangsa ASAIHL

Pengajian tinggi perlu kerjasama global – MQA

MQA rai graduan sulung COQAHE


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok