nanas ump 1
nanas ump 1

Penyelidik UMP berjaya hasilkan sisa nanas alternatif medium penanaman cendawan

Norliza Wasilan
15 Aug 2022 11:25am
A
A
A

Sisa kering pokok nanas atau pinapeat didapati sesuai dijadikan medium penanaman cendawan sebagai alternatif kepada kaedah konvensional yang menggunakan habuk kayu getah.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerusi laman Facebooknya menyatakan dapatan itu diperoleh hasil kajian Profesor Madya Dr Aizi Nor Mazila  Ramli  dengan bekerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Dr Aizi Nor Mazila yang mengetuai penyelidikan berkenaan berkata, Medium Cendawan Nanas itu mempunyai 60 peratus kandungan pinapeat yang fungsinya sama seperti yang selalu digunakan menerusi kaedah konvensional.

“Kajian ini mendapati sisa kering pokok nanas atau pinapeat didapati sesuai untuk dijadikan medium tanaman cendawan dan sebagai satu alternatif kepada medium cendawan konvensional sedia ada,” ujarnya sempena Pelancaran Medium Cendawan Nanas di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, baru-baru ini.

Pelancaran telah disempurnakan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Habshah Ali yang mewakili Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Turut hadir Ketua Pengarah LPNM,  Mohd Khairuzamri Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Dr Kamal Zuhairi Zamli.

Kajian berkenaan turut membabitkan penyertaan dua usahawan iaitu Noor Saiful Amri Suloh dari Saifulam Agro Farm, Pontian, Johor dan Ahmad Mokhtar Daud dari Syarikat Pekan Mushroom Resources Sdn Bhd, Pekan, Pahang.

Laman sosial UMP itu turut menyatakan bahawa kajian penggunaan pinapeat sebagai medium penanaman dalam polibag dan fertigasi akan terus dipergiatkan bersama LPNM.

Sementara itu, Habsah yang membacakan teks ucapan Dr Nik Muhammad Zawawi berkata, pengurusan sisa pertanian menjadi antara agenda penting kementeriannya.

“Peningkatan sisa tanaman nanas dan potensinya adalah selari dengan status industri nanas pada masa kini.

“Industri nanas negara yang kini berkembang pesat terutamanya dalam sektor pengeluaran buah segar akan memberi impak kepada pengurusan sisa tanaman nanas.

“Pada tahun 2021, jumlah keluasan tanaman nanas negara berjumlah 16,200 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 525,000 tan metrik, manakala nilai pengeluaran pula berjumlah RM700 juta,” katanya.

Artikel berkaitan 

Berjaya kumpul RM21,570 untuk projek khidmat masyarakat, usaha keras 7 pelajar master UKM dipuji ramai

Bekerja sambil belajar, mahasiswa UTM kini pemilik perniagaan cendawan berjaya

Kejayaan peserta hasil 300 bongkah cendawan buat ramai kagum


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok