Untitled design (60)
Untitled design (60)

Perlu ambil langkah serius tangani isu keciciran pelajar

Azleenda Sahaludin
03 Jan 2023 05:04pm
A
A
A

Isu keciciran murid dalam pembelajaran disebabkan kemiskinan bukan satu perkara baharu dalam dunia pendidikan hari ini tetapi keadaan itu dilihat semakin serius terutamanya bagi penduduk bandar.

Bukan itu sahaja, bahkan murid berisiko cicir juga perlu diberikan perhatian dalam usaha memastikan kelestarian pendidikan negara.

Dr Mohd Fairuz.

Menurut Pensyarah Kanan, Psikologi Pendidikan Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Fairuz Jaafar, isu pelajar berisiko cicir ini telah diperkatakan sejak 2017, namun ia kembali diangkat menjadi isu utama yang perlu diberi perhatian semua pihak selepas pendemik Covid-19 melanda negara, baru-baru ini.

Beliau yang sudah berkecimpung dalam bidang pendidikan selama 14 tahun merasakan, rata-rata keluarga yang tidak menghantar anak ke sekolah adalah berpunca daripada kewangan yang tidak mencukupi.

Tambahnya, faktor peningkatan kos sara hidup turut mendorong kepada keperluan buat anak-anak ini bekerja berbanding ke sekolah menuntut ilmu.

Punca tercetusnya isu keciciran

Jelasnya lagi, terdapat sesetengah ibu bapa yang menyokong tindakan tersebut kerana beranggapan ia mampu meringankan beban yang dihadapi keluarga.

“Dalam konteks kajian saya dalam isu ini, faktor melibatkan kewangan sememangnya merupakan perkara pertama menyumbang kepada peningkatan pelajar tidak hadir ke sekolah.

“Ia menjadikan alasan kewangan keluarga yang tidak mampu menanggung kos pembelajaran anak-anak sehingga mereka pula perlu bekerja.

“Saya akui ia sedikit sebanyak boleh meringankan beban sedia ada, namun ibu bapa perlu berfikiran terbuka dan melihat masa depan anak-anak kerana pendidikan itu sendiri dapat mengubah nasib sesebuah keluarga itu kelak,” katanya kepada Sinar Bestari, ketika dihubungi, baru-baru ini.

Kesan pelajar tercicir

Selain itu, Mohd Fairuz turut berkongsi beberapa kesan kepada pelajar sekiranya mereka tergolong dalam golongan tercicir ini.

Antara kesan utama adalah cenderung untuk melakukan kes-kes juvana yang mampu memburukkan masa depan mereka.

Perkara ini juga boleh menjejaskan emosi dan kesejahteraan masyarakat sekeliling disebabkan oleh masalah-masalah yang timbul berpunca daripada golongan pelajar tercicir ini apabila mereka terlibat dalam kes seperti mencuri, merompak dan samun.

Untuk mengurangkan statistik keciciran pelajar, minggu ini Mohd Fairuz berkongsi beberapa tip kepada golongan pendidik dan ibu bapa.

Jom kila lihat.

Tip kepada pendidik

  1. Beri motivasi

Golongan pendidik seperti guru perlu memberi motivasi kepada pelajar yang berisiko tercicir. Guru juga hendaklah sentiasa mengambil peluang mendekati pelajar-pelajar untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan demi masa depan.

2. Jadikan sekolah sebagai tempat berkasih sayang

Guru juga perlu bertindak dengan menjadikan sekolah sebagai rumah kedua buat pelajar supaya mereka dapat menumpang kasih sayang yang tidak diperoleh di rumah. Selain itu, guru hendaklah menjadikan pelajar sentiasa dihargai kerana hadir ke sekolah. Ini akan membantu para pelajar merasai masih ramai golongan yang mahu mendengar suara dan luahan hati mereka.

3. Pengajaran bilik darjah

Sebagai guru, kaedah pendekatan dalam bilik darjah juga merupakan perkara penting. Guru hendaklah menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang bersifat fun learning walaupun dari sudut silibus agak sukar. Namun, sekiranya guru berjaya merungkai silibus tersebut dengan menjadikan ia mudah difahami dan dikuasai, pelajar akan berasa seronok untuk hadir ke sekolah.

Tip kepada Ibu bapa

  1. Ubah gaya pemikiran

Ibu bapa perlu sedar pendidikan bukan satu pembaziran malah ia adalah satu pelaburan yang terbaik demi masa depan anak-anak serta mampu mengubah nasib keluarga kepada kehidupan lebih baik. Ibu bapa juga perlu tegas sekiranya berdepan dengan anak-anak yang menunjukkan rasa malas untuk ke sekolah.

2. Peranan ibu bapa dengan sekolah

Ibu bapa hendaklah sentiasa mengambil tahu perkembangan anak-anak di sekolah dan hadir sekiranya dipanggil terutamanya ketika mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Ibu bapa juga perlu bersifat terbuka ketika menerima sebarang nasihat atau teguran daripada pihak sekolah berkaitan anak masing-masing.

3. Ambil tahu kawan anak-anak

Perkara paling utama adalah mengambil tahu dengan siapa anak-anak berkawan atau bergaul. Ini kerana pengaruh negatif rakan sebaya juga mampu mendorong kepada sikap malas anak-anak hadir ke sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok