mmu2
mmu2

Permainan dalam talian jadi platform interaksi sesama rakan, raih pendapatan dan laluan kerjaya

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Apr 2022 12:05pm
A
A
A

Permainan dalam talian atau e-sukan dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda di negara ini malah beberapa kejohanan bertaraf dunia turut dianjurkan bagi merancakkan lagi industri berkenaan.

Selain dijadikan sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, tidak kurang juga yang memilih industri ini sebagai sumber pendapatan atau cabang kerjaya sama ada sebagai gamers atau streamer permainan video.

Industri ini berjaya membantu anak muda meraih pendapatan ribuan ringgit serta berjaya melahirkan individu yang dikenali ramai dalam bidang permainan video dalam talian dan salah seorangnya adalah Soloz.

Bagi pelajar Universiti Multimedia (MMU), Fida'iy Nafis Asnul Dahar, 21, permainan dalam talian adalah satu platform kepada dirinya untuk berinteraksi, bersosial dan meluangkan masa bersama rakan-rakan.

“Melalui permainan video di komputer atau telefon pintar, saya dapat berkongsi cerita dan bertanya khabar mengenai perkembangan terbaharu rakan-rakan terutama ketika dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Dalam masa yang sama, tidak dinafikan permainan dalam talian ini juga digunakan sebagai sumber pendapatan dan cabang kerjaya kepada sesetengah individu yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang ini,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Timbul minat

Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Informasi Teknologi itu mula berjinak-jinak dengan permainan dalam talian ketika berusia 10 tahun kerana ajakan daripada rakan-rakan dan sifat ingin tahu yang sangat menebal dalam diri.

Minatnya makin menebal ketika berada di bangku sekolah menengah sehingga sanggup menghabiskan duit tabungan berjumlah ratusan ringgit untuk membeli kelengkapan bermain permainan dalam talian.

Meskipun begitu, dia tetap memberi perhatian kepada bidang akademik sehingga berjaya mendapat keputusan 8A 3B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas menyambung pengajian ke peringkat universiti, Fida'iy Nafis semakin bijak membahagikan masa supaya tidak terlalu obses dengan permainan dalam talian sebaliknya lebih memberikan tumpuan kepada pelajaran.

Fida'iy Nafis.

“Antara permainan dalam talian yang sering saya main ialah Dota2, Football Manager Series, Remnants of the Ashes, Clash of Clans (CoC), PUBG Mobile, Borderlands Series, Club Penguin, Payday 2 dan Neverwinter.

“Bagaimanapun, saya tidak berpeluang menyertai mana-mana pertandingan kerana semua pembabitan dalam industri ini atas dasar hobi semata-mata, bukan untuk menjadi pemain profesional atau sebagainya.

Hilangkan tekanan

“Saya gunakan platform ini untuk menghilangkan tekanan selepas penat menelaah pelajaran selain mahu berinteraksi dengan rakan-rakan dan tidak bercadang untuk meneruskan pembabitan secara serius di masa akan datang,” ujarnya.

Mengulas mengenai tindakan segelintir pelajar yang terlalu teruja dengan permainan dalam talian sehingga mengabaikan pelajaran, anak ketiga daripada enam adik beradik itu berkata ia adalah perkara yang tidak wajar dilakukan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

“Ini kerana tanggungjawab pelajar ialah memberi tumpuan kepada akademik bagi mencapai cita-cita menggenggam segulung ijazah dan sekiranya masih mahu menceburi permainan dalam talian, perlu ada sikap bijak mengawal diri supaya tidak terlalu terjebak dengan perkara berkenaan.

“Tidak salah bermain permainan dalam talian kerana ia juga boleh menjadi sumber pendapatan atau kerjaya tetapi sebagai pelajar, kena tahu membahagikan masa dan meletakkan akademik sebagai keutamaan.

“Bagi rakan-rakan yang mahu meneruskan minat dalam bidang ini terutama untuk tujuan mencari pendapatan atau sebagai kerjaya, saya harap mereka berjaya mencapai impian masing-masing tetapi dalam masa yang sama tidak mengabaikan pelajaran,” jelasnya mengakhiri perbualan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok