HomeIPTBuletin IPTPersaingan sengit dan tempat terhad, faktor utama 20,000 pelajar gagal ditempatkan di...

Persaingan sengit dan tempat terhad, faktor utama 20,000 pelajar gagal ditempatkan di UA

Persaingan sengit dan tempat yang terhad. Itulah faktor utama yang menyebabkan hampir 20,000 pelajar tidak berjaya untuk mendapat tempat di 20 universiti awam (UA).

Menurut Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Profesor Dr Husaini Omar, hanya 71,615 daripada 90,745 jumlah permohonan sahaja yang layak untuk mendapatkan tawaran memasuki UA pada tahun ini.

“Tempat adalah terhad dan sekarang persaingan terlalu tinggi untuk mendapat tempat di UA.

“Ini menunjukkan satu perkara positif kerana bakat-bakat yang ingin memasuki universiti adalah yang dalam kalangan yang terbaik,” kataya dalam sidang media khas mengenai sistem UPUOnline di KPT, hari ini.

Husaini juga berkata, terdapat tiga program utama yang mempunyai persaingan paling tinggi iaitu perubatan, perakaunan dan undang-undang.

“Penempatan yang disediakan bagi program perubatan adalah 680 dan 1,931 permohonan pilihan pertama diterima Unit Pusat Universiti (UPU).

“Daripada jumlah itu, seramai 1,841 pemohon yang layak manakala hanya 629 calon ditawarkan tempat di UA.

“Bagi program undang-undang pula, hanya 541 pelajar diberikan tempat daripada
1,660 jumlah permohonan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pemohon yang gagal mendapat tempat di UA bagaimanapun masih terbuka untuk meneruskan pengajian tinggi di universiti swasta.

“Negara kita mempunyai banyak universiti swasta yang menawarkan pelbagai program dan kemudahan pinjaman.

“Tambahan pula Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mengembalikan keistimewaan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama,” tambah beliau.

Artikel berkaitan

“3.95 pun tidak dapat UPU” – Pelajar terkilan permohonan UPU tidak berjaya meskipun raih keputusan cemerlang

Membanggakan! Inilah senarai 5 pelajar Malaysia yang berjaya menempa nama di universiti luar negara!

Perhatian kepada pelajar lepasan SPM 2021, ini 8 biasiswa yang anda boleh pohon


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok