HomeIPTBuletin IPTRekod MBOR, UPSI bina struktur terumbu glob terbesar di dasar laut

Rekod MBOR, UPSI bina struktur terumbu glob terbesar di dasar laut

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus melakar kejayaan apabila namanya diabadikan dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas berjaya meletakkan struktur terumbu glob terbesar di dasar laut, Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang mengetuai misi itu berkata, struktur terumbu glob itu mempunyai ketinggian tiga meter.

“Struktur berkenaan yang beratnya melebihi 1,000 tan itu berjaya diletakkan di dasar laut pada kedalaman 11 meter oleh 10 bekas pelajar dari pelbagai fakulti.

“Dengan adanya struktur terumbu tersebut maka ia dapat membantu Jabatan Perikanan Malaysia, Terengganu, dalam usaha pemuliharaan terumbu karang di Taman Laut yang baru-baru ini musnah akibat taufan Pabuk, sekitar Januari 2019,” ujarnya ketika menerima sijil pengiktirafan daripada MBOR, di Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu, baru-baru ini.

Md Amin ( tengah, kanan), menerima sijil Malaysia Book of Records oleh pegawai pengesah rekod sambil disaksikan Norkhalid ( tuujuh dari kanan) dan Siti Hartini (empat dari kanan) di Taman Laut Pulau Redang. Foto/UPSI.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr Norkhalid Salimin dan Pengarah Pusat Alumni, Dr Siti Hartini Azmi.

Mengulas lanjut, Dr Md Amin yang juga alumni UPSI berkata, apa yang dilakukan mereka adalah sebagai tanda kecintaan daripada alumni kepada universiti berkenaan.

“Sebagai institusi pendidikan keramat, UPSI terbina daripada sebuah semangat perjuangan pendidikan dan kejayaan ini adalah untuk membuktikan kecintaan kami sebagai alumni terhadap universiti bertuah ini,” ujarnya lagi.

Kumpulan penyelam alumni UPSI berjaya menempa nama di Malaysia Book of Records. Foto/UPSI.

Sementara itu, Dr Siti Hartini merakamkan penghargaannya atas usaha alumni untuk terus mengharumkan nama UPSI.

“Kami mengalu-alukan usaha para alumni yang dikenali sebagai Anak Kandung Suluh Budiman untuk mengharumkan nama universiti dengan penganjuran pelbagai aktiviti sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” tuturnya.

Artikel berkaitan 

Geran penyelidikan, UTHM terima lebih RM3 juta

4 pelajar UPSI muncul johan pertandingan busking, bawa pulang hadiah RM1,000

Inisiatif Menu Keluarga Malaysia RM3.50 bakal beri manfaat 14,000 golongan B40 mahasiswa UPSI


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok