Amir Izwan tergamam dinobat Tokoh Siswa UPSI 2021
Amir Izwan tergamam dinobat Tokoh Siswa UPSI 2021

Amir Izwan dinobat Tokoh Siswa UPSI 2021

Roshlawaty Md Raieh
19 Nov 2022 03:41pm
A
A
A

“Alhamdulillah terima kasih Ya ALLAH,” demikian ucap Amir Izwan Mat Hussain, 24, kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Merupakan pelajar Semester Enam, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Amir Izwan yang baru sahaja dinobatkan penerima Anugerah Perdana Naib Canselor - Tokoh Siswa UPSI 2021 memberitahu yang dirinya tergamam apabila nama disebut di atas pentas.

“Jujur saya katakan yang diri sangat terkejut bila pihak majlis mengumumkan yang saya sebagai penerima Tokoh Siswa UPSI 2021.

“Pelbagai perasaan bercampur antara gembira, sebak, hiba dan bersyukur kepada Ya Rabb. Alhamdulillah dan terima kasih UPSI atas pengiktirafan yang cukup bermakna ini,” ujar Amir Izwan yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 dan sebuah piala.

Anugerah Perdana Naib Canselor - Tokoh Siswa UPSI yang diterima oleh anak sulung daripada empat adik beradik ini merupakan salah satu anugerah yang disampaikan kepada pelajar cemerlang kampus itu menerusi Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar dan Penasihat Badan Pelajar 2021 di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Selain Amir Izwan sebagai penerima anugerah, majlis berkenaan turut menobatkan Persatuan Mahasiswa Sains sebagai Badan Pelajar Terbaik manakala Dr Nurulsaidah Abdul Rahim diumum Penasihat Terbaik.

Sementara itu, pada majlis yang gilang gemilang berkenaan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff diberi penghormatan untuk menyampaikan anugerah kepada semua mahasiswa terpilih.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Ahmad Burak; Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr Norkhalid Salimin.

Dalam pada itu, Md Amin berkata, pengiktirafan kepada para pelajar amat perlu sebagai menghargai sumbangan mereka yang telah bertungkus lumus menyumbang keringat, idea dan peranan dalam menaikkan nama UPSI di peringkat yang tertinggi.

Jelas beliau, ini adalah manifestasi pihak pengurusan tertinggi universiti untuk memastikan mahasiswa terlibat secara langsung dalam kepimpinan berorganisasi, sukarelawan, kesukanan, kesenian dan kebudayaan, khidmat masyarakat serta sumbangan kepada komuniti.

Artikel berkaitan 

Masa depan ragbi wanita UPSI dan UM cerah

Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021

10 faktor Jerman boleh dijadikan pilihan pelajar sambung pengajian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok