Kelab UMTAC, KMUCK
Kelab UMTAC, KMUCK

Kelab UMTAC, KMUCK mahu lahir pemanah negara

Roshlawaty Md Raieh
22 Feb 2022 04:13pm
A
A
A

Penubuhan kelab memanah di universiti ternyata berjaya melahirkan barisan pemanah yang hebat dan berkualiti sehingga mengharumkan nama negara ke pentas dunia.

Nama-nama seperti Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nurul Syazhera Mohd Asmi, Muhamad Fareez Rosli, Liew Tek Wa, Lau Jiun Sien dan ramai lagi adalah antara atlet memanah yang telah membina nama dan kegemilangan dalam sukan tersebut.

Melihat kejayaan mereka, sudah tentu bukan mudah untuk atlet ini berada dalam situasi sekarang. Semestinya banyak pengorbanan yang telah dilakukan.

Presiden Kelab Memanah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) atau UMT Archery Club (UMTAC), Mohd Juhari Ab Kadir berkata, setiap pemanah perlu ada sikap positif dalam diri jika mahu berjaya.

Mohd Juhari

“Saya sentiasa pesan kepada pemanah UMTAC mereka perlu mempunyai jati diri, disiplin tinggi, fokus pada latihan, kecergasan mental dan fizikal serta tenang dalam apa jua keadaan.

“Sikap bertolok ansur perlu diutamakan dalam usaha membentuk kekuatan dalaman bagi memberi ketenangan dalam apa jua pergerakan untuk sukan memanah,” katanya.

Ujarnya lagi, menjadi pemanah yang hebat datang daripada individu itu sendiri.

“Diri masing-masing yang boleh menentukan sama ada dia hendak jadi hebat ataupun tidak. Jika mengikuti teknik latihan yang betul dengan mematuhi disiplin yang ditetapkan ditambah peralatan bersesuaian dengan saiz dan fizikal pemanah, sudah pasti seorang pemanah boleh pergi jauh,” jelasnya.

Baca juga 

Beza antara guru disiplin dengan guru pengawas, pelajar dan ibu bapa boleh ambil maklum

“SPM saya 1969…hanya 1A. Itu pun subjek Sejarah” – Dr Shukri

Sementara itu, Mohd Juhari berkata, UMTAC ditubuhkan pada 1 Jun 2012 dengan bilangan ahli seramai 181 orang. Mereka mendapat pelbagai manfaat seperti boleh menggunakan kemudahan atau peralatan secara percuma, berpeluang mewakili UMTAC pada kejohanan memanah yang dianjurkan oleh agensi dan kelab memanah seluruh negara juga di peringkat antarabangsa serta mendapat diskaun pembelian peralatan bagi sukan memanah.

Tambah beliau lagi, pemanah UMTAC mendapat bimbingan dan latihan daripada barisan jurulatih yang pakar dan berpengalaman.

Dalam pada itu, Mohd Juhari menasihatkan semua ahli kelab supaya bersatu hati dan bertenaga dalam menjayakan pencapaian visi dan misi serta objektif penubuhan kelab.

“Kekuatan kelab bukan bergantung kepada kehebatan jurulatih dan kemantapan barisan ahli jawatankuasa, tetapi komitmen ahli kelab yang bersama menyokong pembangunan sukan ini. Jadi, marilah kita sama-sama teruskan perjuangan demi merakyatkan sukan sunnah ini di Negeri Terengganu,” ujarnya.

Dapat bimbingan jurulatih Kelab Memanah 360

“Kelab Memanah UiTM Cawangan Kedah (KMUCK) masih tidak mempunyai ahli jawatankuasa setakat ini namun bergerak aktif di mana setiap petang latihan giat dijalankan.

“Ini mungkin disebabkan kerana rasa minat yang mendalam antara para pelajar, penasihat dan sokongan padu Unit Sukan,” kata ahli KMUCK, Imran Hamidi Aqli Azim.

Imran Hamidi

Menurut Imran Hamidi, sehingga kini KMUCK diselia di bawah Unit Sukan UiTM Cawangan Kedah.

“Sekarang kami tiada Majlis Tertinggi (MT) untuk KMUCK kerana pandemik yang melanda di mana MT terdahulu telah tamat pengajian.

“Sekarang segala-galanya dilakukan secara ad hoc di mana setiap ahli yang ada mengambil inisiatif agar sesi latihan sama ada dari segi teori dan praktikal dapat dilakukan dengan efisien,” ujarnya.

Jelas beliau, latihan intensif hanya diadakan untuk ahli yang masih berada di dalam kampus.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Kami perlu berlatih setiap hari dan adakalanya ketika waktu cuti .

“Kami telah membuat perancangan untuk terlibat dengan beberapa acara memanah di masa hadapan. Juga merancang untuk mengadakan satu pertandingan memanah peringkat kebangsaan dan antarabangsa di kampus ini dan program itu menjadi lebih bersemangat apabila Rektor UiTM Kedah, Profesor Dr Mohamad Abdullah Hemdi memberi sokongan penuh,” katanya.

Akhir sekali, Imran Hamidi berkongsi tip untuk jadi pemanah yang hebat.

“Tip pemanah yang hebat ialah harus komited, fokus dan sentiasa mempunyai keinginan belajar ilmu baharu. Perlu selalu mendengar arahan jurulatih dan tidak cepat mengaku kalah,” katanya.

INFO

  1. Kejayaan UMTAC

- Juara Keseluruhan acara Sukan Memanah Kejohanan SUKUM 2018

- Anugerah Sukan UMT 2019

- Melahirkan empat atlet sukan memanah SUKMA Negeri Terengganu daripada program Pencungkilan Bakat Cilik

2. Kejayaan KMUCK

MoU dengan kelab luar iaitu Kelab Memanah 360. Di sini, UiTM Cawangan Kedah mengamalkan konsep knowledge-resource sharing di mana kampus menyediakan padang sasar yang kondusif bagi para pelajar membuat latihan dan Kelab Memanah 360 pula yang berpengalaman dalam pertandingan memanah baik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menyumbang dari segi tenaga pengajar yang terlatih.

Melalui MoU ini, mereka mewujudkan Akademi Memanah UiTM Cawangan Kedah di mana ahli terdiri daripada masyarakat setempat. KMUCK ingin menjadi pencetus dalam minat terhadap sukan sunnah ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok