Stadium UTHM terima pengiktirafan antarabangsa
Stadium Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mendapat pensijilan World Athletics: Class 2 Athletics Facility Certificate, baru-baru ini.
Pengiktirafan yang diberikan pada 1 Oktober lalu itu diberikan selepas kemudahan fasiliti trek dan padangnya mencapai piawaian teknikal seperti yang termaktub dalam World Athletics Rules.
World Athletics sebelum ini dikenali sebagai International Association of Athletics Federation (IAAF), satu badan pengiktiraf bagi trek dan padang sukan peringkat antarabangsa sejak tahun 1912 yang berpusat di Monaco.
Menurut Pengarah Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan (PPP) UTHM, Profesor Madya Dr Mohammad Kamil Abdullah, semua kerja membabitkan naik taraf trek dan padang di stadium itu siap sepenuhnya pada awal Ogos lalu.
Tambahnya, sebaik siap kerja menaik taraf, UTHM telah memanggil panel penilai untuk menentukan sama ada ia mencapai kualiti ditetapkan oleh badan antarabangsa.
Ujarnya lagi, pada masa sama, UTHM juga ingin membuktikan bahawa universiti itu juga mampu menyediakan kemudahan bertaraf antarabangsa untuk pelajarnya.
“Sejajar dengan kerja pembaikan dan naik taraf tersebut, pihak PPP telah memanggil panel penilai yang terdiri daripada pakar trek dan padang bagi memastikan piawaian kualiti peringkat antarabangsa dapat dicapai.
“Pengiktirafan ini membuktikan Stadium UTHM mampu menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa, sekali gus mampu menjadi sebuah institusi yang terulung di peringkat global,” tuturnya.
Stadium berkenaan mula dibuka kepada warga universiti pada 19 September lalu untuk aktiviti sukan dan riadah.
Artikel berkaitan
UPM turun padang kongsi ilmu tingkatkan kehijauan persekitaran sekolah
Tahniah SK Kempadang! Berjaya tersenarai 3 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia
3 pensyarah UPM terima pengiktirafan Top Research Scientist Malaysia 2022
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok