Screenshot (5)
Screenshot (5)

Study Melbourne Hub Kuala Lumpur perkasakan pelajar antarabangsa Victoria, buka peluang besar kepada pelajar di Malaysia

Adlan Farhan Azwan
23 Nov 2021 05:29pm
A
A
A

Study Melbourne Hub Kuala Lumpur secara rasminya telah dilancarkan secara hibrid hari ini. Acara perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Malaysia YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Global Victoria Gönül Serbest, Pesuruhjaya Victoria ke Asia Tenggara Rebecca Hall dan Timbalan Ketua Misi Australia ke Malaysia, Hannah Birdsey.

Victoria merupakan destinasi terkenal di kalangan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke Australia dengan kira-kira 7,700 pelajar Malaysia yang sedang menjalani pembelajaran di sana dengan suku daripada bilangan itu menjalani proses pembelajaran di rumah disebabkan sekatan perjalanan.

Study Melbourne Hub Kuala Lumpur adalah sebahagian inisiatif Pendidikan Antarabangsa Kerajaan Victoria untuk menubuhkan lima pusat dalam pasaran pendidikan antarabangsa utama.

Wan Ahmad Fayhsal ketika memberi ucapan dalam majlis tersebut berkata, penubuhan pusat ini dan seumpamanya di seluruh dunia merupakan usaha yang patut dipuji dalam memperkenalkan inovasi dalam cara penyampaian penyelesaian pendidikan.

YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bergambar semasa acara pelancaran Study Melbourne Hub Kuala Lumpur

“Pada waktu yang sama, ia selaras dengan usaha Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai pilihan tempat pendidikan; serta meningkatkan hubungan Malaysia dengan ekosistem pendidikan dunia,” katanya.

Beliau juga percaya universiti adalah tempat seseorang itu untuk meneroka potensi diri, terus berkembang maju dan membentuk jati diri yang intelektual.

Pembukaan Study Melbourne Hub Kuala Lumpur diumumkan oleh Menteri Perdagangan Victoria, Hon. Martin Pakula yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Jangka Pendek Victoria sebanyak AUD33.4 juta dengan dana tambahan disediakan melalui Belanjawan Victoria 2021-2022 dalam tempoh empat tahun akan datang.

Acara pelancaran itu juga dibuat secara dalam talian

Ketua Pegawai Eksekutif Global Victoria, Gönül Serbest memberitahu 15 pelajar Malaysia telah menerima biasiswa ‘Career Catalyst’ bernilai AUD5,000 bertujuan memberi latihan tahap kesediaan bekerja dan latihan amali secara maya selama tiga bulan bersama syarikat Victoria.

“Study Melbourne Hub Kuala Lumpur akan menyediakan ruang fizikal kolaboratif bagi pelajar berinteraksi antara satu sama lain, institusi pendidikan mereka, dan membolehkan akses kepada program Study Melbourne,” tambah beliau.

Victoria adalah satu-satunya negeri Australia yang menyediakan pusat pembelajaran luar kawasan bagi pelajar antarabangsa - perasmian Study Melbourne Hub Shanghai pula dilancarkan pada April 2021 dan satu lagi pusat dijadualkan untuk dibuka di Ho Chi Minh bulan depan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok