Untitled (17)
Untitled (17)

THE Asia University Rankings 2021, UTeM tersenarai dalam universiti terbaik Asia

Nor Azma  Muhamat Laila
03 Jun 2021 07:14pm
A
A
A

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah tersenarai dalam senarai universiti terbaik Asia menerusi penarafan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2021 yang diumumkan semalam.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini antara elemen yang turut melonjakkan prestij UTeM sebagai salah sebuah universiti terbaik di rantau Asia.

Jelasnya, pencapaian ini juga menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan dan usaha UTeM yang sentiasa komited membangun dan memperkasakan kualiti pendidikan modal insan dalam negara, global dan khususnya di rantau Asia.

Ujarnya, penarafan ini menilai universiti berdasarkan 5 kriteria utama iaitu pengajaran (persekitaran pengajaran & pembelajaran), penyelidikan (penjanaan dan reputasi), sitasi dalam penerbitan, penjanaan daripada industri (pemindahan pengetahuan) dan pengantarabangsaan (pelajar, staf dan penyelidikan).

Gambar hiasan daripada internet.

Dr Raha menyatakan UTeM merupakan antara 15 buah universiti tempatan yang berjaya tersenarai dalam penarafan tersebut dan UTeM berada pada kedudukan 401+ terbaik di Asia.

“Pada kedudukan tersebut UTeM bersama dengan lima buah universiti tempatan lain iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Multimedia (MMU) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang juga baru menyertai senarai penarafan tersebut,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kataya lagi, berdasarkan senario semasa dunia, pencapaian ini amat memberangsangkan memandangkan cabaran yang dihadapi oleh semua institusi pengajian tinggi (IPT) dunia ekoran krisis pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, beliau berharap UTeM akan terus menyerlahkan momentum pencapaian ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang menerusi pendekatan inisiatif-inisiatif strategik baharu.

"Pendekatannya adalah selari dengan acuan dan formula Pelan Strategik UTeM ‘Seven Strategic Goals (SSG) 2021-2025’ yang telah dilancarkan pada awal tahun ini," katanya lagi.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok