WhatsApp Image 2022-04-08 at 4.34.31 PM
WhatsApp Image 2022-04-08 at 4.34.31 PM

Tidak sangka menang anugerah kerana belajar sambil bekerja, graduan UUM rangkul MICPA Gold Medal Award

Adlan Farhan Azwan
08 Apr 2022 04:38pm
A
A
A

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mencipta kecemerlangan apabila graduan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dianugerahkan MICPA Gold Medal Award oleh Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), sebuah badan pengiktirafan profesional perakaunan di Malaysia.

Tai Qin Heng dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), memperoleh markah tertinggi bagi subjek Management Accounting & Applied Finance sekali gus berada di tempat pertama di Malaysia untuk Term 3, 2021 yang diumumkan oleh MICPA, baru-baru ini.

Qin Heng berkata, dia tertarik untuk menduduki program profesional itu kerana ia menyediakan satu platform bagi pelajar perakaunan untuk ditawarkan kerja dan mendapat penajaan daripada firma perakaunan terkemuka di Malaysia.

"Saya mengikuti program ini secara atas talian sejak berada di semester tujuh dan berpendapat kursus itu amat bermanfaat terhadap kerjayanya pada masa hadapan.

"Saya tidak menjangka akan terpilih menerima anugerah ini tambahan pula dihambat kesibukan belajar sambil bekerja.

"Pengurusan masa juga menjadi cabaran utama sepanjang mengikuti program ini dan disiplin menjadi elemen yang paling penting bagi membolehkan saya untuk mengekalkan momentum dalam persiapan untuk peperiksaan itu," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, selepas menduduki peperiksaan itu, dia berpeluang mempelajari banyak ilmu dan perkara baharu di samping dapat meningkatkan tahap kemahiran analitikal memandangkan kursus berkenaan memerlukan banyak aplikasi berbanding teori dalam silibus.

“Subjek Management Accounting & Applied Finance merupakan subjek ketiga yang saya telah lulus cemerlang dan berharap dapat kekalkan momentum cemerlang ini untuk dua subjek akan datang kelak.

“Saya berterima kasih kepada ibu bapa, UUM, TISSA-UUM, MICPA, KPMG dan rakan-rakan di atas sokongan serta dorongan yang berterusan yang diberikan sepanjang perjalanan ini, sekali gus menaikkan semangatnya untuk terus bekerja lebih keras,” ujarnya.

Qin Heng turut berharap kejayaan itu dapat menyuntik inspirasi dan mendorong pelajar UUM untuk terus mengharumkan nama universiti.

Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada graduan TISSA di atas kejayaan mengharumkan nama UUM yang menjadi sumber inspirasi kepada semua.

Beliau berharap apabila melangkah ke alam pekerjaan mahasiswa sentiasa berpegang pada prinsip jujur, amanah, integriti dan tabah dalam diri semasa melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dekan TISSA-UUM, Profesor Dr Nor Aziah Abdul Manaf pula menzahirkan rasa bangga dan gembira dengan pencapaian itu dan berkongsi perancangan TISSA pada tahun ini.

“Seramai 42 orang pensyarah TISSA yang mempunyai kelayakan profesional telah dilantik menjadi mentor bagi membantu pelajar yang mendaftar program profesional di UUM,” ujar beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok