2 (1)
2 (1)

UiTM Cawangan Negeri Sembilan anjur simposium penyelidikan dan inovasi makanan dalam talian

webadmin
21 Sep 2021 03:49pm
A
A
A

Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah bersama dengan empat rakan akademiknya telah berjaya menganjurkan Webinar Symposium of Research and Innovation for Food (SoRIF) buat julung kalinya, baru-baru ini.

Empat rakan akademik itu ialah The University of Queensland dan Queensland Health, Australia; University of Nottingham, United Kingdom (UK) dan Universitas Brawijaya, Indonesia.

Simposium ini telah berjaya menarik lebih daripada 270 orang peserta tempatan dan antarabangsa termasuklah staf akademik daripada pelbagai institusi pendidikan dari dalam dan luar negara, kakitangan agensi kerajaan, pemain industri makanan, dan pelajar sekolah menengah.

Simposium ini yang dilangsungkan secara dalam talian bertujuan untuk berkongsi ilmu dan penemuan terkini dalam bidang sains serta teknologi makanan dengan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Hal ini selaras dengan dasar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menggalakkan perkongsian ilmu di menara gading bersama masyarakat dan komuniti.

Selain itu, simposium yang diadakan secara percuma ini juga memberi peluang kepada pelajar tahun akhir Jabatan Sains dan Teknologi Makanan, Kampus Kuala Pilah, UiTM Cawangan Negeri Sembilan untuk membentangkan projek tahun akhir mereka.

Program yang dianjurkan hasil daripada kerjasama di antara anggota Alliance of Research & Innovation for Food (ARIF) dan ahli Persatuan Pelajar Bachelor of Science and Technology Association (B-FoST) ini juga membolehkan pelajar memperolehi pengalaman yang cukup bernilai.

Kolaboratif yang erat di antara staf akademik dan pelajar pula telah meningkatkan kemahiran digital, tahap kepimpinan dan komunikasi pelajar, di mana kesemua kemahiran ini merupakan elemen penting untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah.

Webinar ini turut mencapai salah satu objektif utamanya, sepertimana yang dinyatakan oleh Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof Dr Yamin Yasin yang hadir merasmikan Majlis Penutupan SoRIF 2021 secara maya.

“Berdasarkan perkongsian ilmu oleh rakan akademik antarabangsa kita, saya gembira bahawa SoRIF 2021 telah mencapai objektifnya untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa membabitkan pelajar, pensyarah dan pakar-pakar dalam bidang sains dan teknologi makanan," kata beliau.


Sementara itu, Penaung SoRIF, Dr Noorlis Ahmad yang juga Timbalan Rektor Akademik, UiTM Cawangan Negeri Sembilan pula berkata simposium yang berlangsung selama dua hari melalui Webex ini merupakan platform yang ideal bagi memupuk pembangunan akademik, kemahiran insaniah dan kepimpinan siswazah.

Pengarah SoRIF, Dr Siti Azima Abdul Muttalib, turut berkongsi pendapat beliau bahawa pengalaman menganjurkan sebuah program secara maya bersama dengan pelajar sarjana muda sehingga berjaya mendapat perhatian peserta dari luar negara ini diibaratkan seperti melihat titik cahaya di dalam kegelapan pandemik Covid-19.



"Hal ini adalah di luar jangkaan saya di mana kemahiran digital yang diaplikasikan telah memudahkan lagi perkongsian ilmu dibuat malah kerjasama antarabangsa yang berjaya diperoleh menerusi program ini pula melebihi jangkauan norma lama kita," jelas beliau.

Salah seorang daripada lima pelajar yang memenangi Anugerah Penyampai Terbaik dalam SoRIF 2021, Nurul Izzati Medihi berkata, menerusi program berkenaan, dia belajar menghadapi kesilapan dan kegagalan serta melihatnya dari sudut yang positif.

"Menerusi program ini, saya percaya yang saya akan berjaya dan lebih cemerlang sekiranya terus mencuba,” katanya.

Jabatan Sains dan Teknologi Makanan UiTM Cawangan Negeri Sembilan terdiri daripada 15 orang staf akademik yang berdedikasi dan bersemangat serta 182 pelajar sarjana muda yang sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan sains dan teknologi makanan demi kegemilangan UiTM.

Penulis:

Dr Eddie Tan Ti Tjih
Dr Siti Azima Abdul Muttalib
Dr Nor Monica Ahmad

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok