UKM-Bank Rakyat 1
UKM-Bank Rakyat 1

UKM jalin kerjasama dengan Bank Rakyat bagi Projek Wakaf Tunai

Norliza Wasilan
11 Aug 2022 10:10am
A
A
A

Yayasan Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Bank Rakyat mengadakan kerjasama strategik menerusi pelaksanaan Projek Wakaf Tunai UKM-Bank Rakyat, baru-baru ini.

Kerjasama itu diperkukuhkan menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) Projek Wakaf Tunai UKM-Bank Rakyat dalam usaha menyediakan saluran dan pengurusan kutipan wakaf tunai.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, Profesor Datuk Dr Norazah Mohd Nordin berkata, menerusi cara itu ia sekali gus memantapkan kutipan wakaf di universiti berkenaan.

“Ini membolehkan Bank Rakyat membantu UKM dalam mempromosi, mengumpul dan bersama-sama mengurus serta mentadbir Dana Wakaf yang diterima apabila orang ramai boleh berwakaf kepada UKM di semua kaunter Bank Rakyat.

“Kerjasama itu bakal memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya warga UKM yang ingin berwakaf, sesuai dengan naratif baharu UKM sebagai universiti watan.

“Menerusi langkah ini, kutipan wakaf boleh dilakukan di semua kaunter cawangan Bank Rakyat di seluruh negara dan platform lain disediakan Bank Rakyat,” ujarnya pada Majlis Pertukaran Dokumen MoA, di Menara Kembar Bank Rakyat, baru- baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Norazah berharap cara itu dapat menarik lebih ramai dermawan di negara ini menjadikan UKM sebagai saluran untuk berwakaf.

Ini kerana, ujarnya, wakaf tunai yang diberikan akan disalurkan bagi tujuan kebajikan, pendidikan dan pembangunan yang akan memberikan manfaat kepada orang ramai khususnya warga UKM.

Selain itu, Dr Norazah berkata, kerjasama itu bakal membantu mengembangkan industri wakaf di Malaysia serta memartabatkannya sebagai salah satu instrumen kewangan Islam dalam menyelesaikan masalah ekonomi umat dan negara secara dinamik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Susulan dan Kutipan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar berkata, wakaf boleh memainkan peranan penting dalam usaha negara membangunkan ekonomi dan menangani ketidaksamarataan dalam masyarakat terutamanya dalam pendidikan dan kesihatan.

“Kerjasama ini juga merupakan tanggungjawab sosial korporat Bank Rakyat sebagai satu-satunya institusi perbankan yang beroperasi sepenuhnya secara patuh syariah.

“Selain melestarikan usaha membangunkan wakaf di universiti awam, usaha ini juga adalah untuk mendorong pembangunan industri wakaf di negara ini agar lebih progresif dan efisien dari segi urustadbir, akauntabiliti dan transparensi,” ujarnya.

Artikel berkaitan

UKM perkenal Menu Siswa Keluarga Malaysia, sokong inisiatif dilaksanakan KPT

Penyelidik UKM reka corak warisan Melayu pada telekung

UKM kini dalam kalangan 9 peratus universiti terbaik dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok