well3
well3

UMK wujud Jaringan Keusahawanan dan Kepimpinan Wanita, perkasa keusahawanan wanita

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Apr 2022 08:53am
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC) mewujudkan Jaringan Keusahawanan dan Kepimpinan Wanita (WELL) bertujuan menghubungkan universiti dengan persatuan wanita dan badan bukan kerajaan bagi membantu memperkasakan keusahawanan wanita khususnya di negeri Kelantan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK selaku Penaung WELL, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, platform jaringan kerjasama itu melibatkan Women Leadership Foundation (WLF), Women Institute (WI), Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (WENA) dan pelbagai pihak lain.

Beliau berkata, antara tujuan utama penubuhannya adalah untuk membuat kajian berkaitan kepimpinan dan keusahawanan wanita serta menjalankan program serta aktiviti keusahawanan.

"Pembabitan usahawan wanita pada masa kini amat penting kerana kaum wanita juga tidak mahu terlepas untuk menyertai dan mencipta nama di dalam bidang keusahawanan seterusnya mempamerkan kesungguhan serta sanggup menempuhi cabaran dan masalah yang dihadapi.

"Tanpa usaha yang gigih, semangat juang yang tinggi dan kesanggupan menghadapi cabaran, mereka tidak akan dapat mencapai kejayaan yang mereka kecapi sekarang," katanya pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Program Kepimpinan dan Keusahawanan Wanita 2022, di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Program bertemakan From Local ke Global itu adalah anjuran WLF, WI dan Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK) yang berlangsung selama dua hari bermula 29 Mac 2022.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi (Keusahawanan dan Kebajikan) WLF dan Pengasas serta Pengarah Utusan Hyrax Oil Sdn Bhd, Datuk Hazimah Zainuddin.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Turut hadir, Naib Canselor UMK, Profesor Dr Razli Che Razak; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts Dr Arham Abdullah; Pengarah GERIC, Profesor Madya Dr Noorshella Che Nawi dan Pengarah Urusan Serai Group, Rina Abdullah.

Menurut Nik Maheran lagi, perkataan Life Balance sangat penting untuk wanita kerana kejayaan seorang wanita ialah apabila mereka dapat mengimbangi kerjaya dan rumahtangga, cinta dan cita-cita, bahagia serta harta.

"Kejayaan sebagai pemimpin pula ialah apabila kehadirannya sebagai ketua memberi ketenangan dan inspirasi kepada orang di sekelilingnya untuk terus memajukan diri dan organisasi.

"Tidak berjaya seseorang itu jika kehadirannya tidak memberi manfaat kepada orang lain," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok